Guna Air Paip Ganti Sanitizer Lelaki Ini Terima Padah


Tindakan pengawal sebuah pasar awam di Kulim Kedah yang bertindak guna air paip bukannya cecair pembasmi kuman menerima padah 

Dia akhirnya dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

Lelaki berusia 38 tahun itu dikenakan tindakan di bawah Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim, peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di Kedah ketika ini amat membimbangkan.

Justeru, beliau berharap semua pihak mematuhi SOP ditetapkan bagi mengekang penularan wabak ini.

Katanya, pemantauannya di beberapa pasar dan premis mendapati tahap kesedaran orang awam amat tinggi kerana menyedari cara jangkitan COVID-19 yang begitu pantas selain memberi tumpuan kepada kawasan jangkitan dilaporkan berlaku.

"Kita kesan ada peniaga yang tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dengan sebaiknya, jadi langkah- langkah ini perlu dilakukan seperti saranan kerajaan.

"Saya juga berharap pelanggan mematuhi semua SOP yang ditetapkan seperti penggunaan pelitup muka dan diharap ia akan dipatuhi sepenuhnya. Kami dan agensi berkenaan akan sentiasa memastikan semua SOP ini diikuti," katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi pemantauan bersama beberapa agensi antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Daerah Kulim.

Menurutnya, 65 kompaun dikeluarkan bermula 10 Jun lepas sehingga kini atas pelbagai kesalahan seperti tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan buku catatan di premis, serta tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Sehingga Isnin, sebanyak 21 kes COVID-19 dicatatkan di daerah itu.

Sebanyak tiga pasukan pemantau telah dikerahkan sepanjang 24 jam bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP dan menjaga diri sendiri sepanjang berada di tempat awam.



Astro AWANI