Penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) Anidah Basri, 49, berkata, ayahnya, Basri Rakob, mula dimasukkan ke HEBHK pada 20 Mac sebelum disusuli dia dan ibunya 10 hari kemudian.
Bagaimanapun, ibunya pulih dengan pantas dan dibenarkan keluar hospital pada 10 April sebelum Anidah turut sembuh sepenuhnya dan pulang ke pangkuan keluarga tiga hari selepas itu.
"Namun kegembiraan kerana pulih daripada wabak ini hanya sehari apabila pihak hospital memaklumkan ayah meninggal dunia pada 14 April.
"Luluh hati saya dan ibu apatah lagi apabila mengenangkan kami masuk ke hospital untuk rawatan bertiga namun hanya dua orang yang selamat pulang ke pangkuan keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Anidah, hanya Allah yang mengetahui rasa hati keluarganya apatah lagi apabila menjelang Ramadan kerana ia adalah waktu untuk mereka berkumpul bersama setiap kali berbuka puasa.
"Ibu dilihat masih bersedih manakala saya serta anak-anak dan suami trauma dengan apa yang berlaku ini menyebabkan kami tiada merancang apa-apa yang istimewa sepanjang Ramadan ini.
"Apatah lagi kami masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) sehingga 28 April ini yang turut mengehadkan pergerakan walaupun tiada lagi jangkitan baharu dilaporkan," katanya.
Menurut Anidah, keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku ini dan menganggap ia ketentuan Allah walaupun agak berat untuk diterima.
"Paling terpahat di dalam diri kami apabila tiada seorang ahli keluarga dibenarkan mengiringi jenazah ayah ketika pengkebumiannya namun akan tetap diziarahi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti,"katanya. - Berita Harian Online