Mangsa 'Bunuh Diri' Di Hospital Serdang Bukan Pesakit Covid-19

Malaysiakini
Seorang pesakit yang dilaporkan membunuh diri semalam diuji negatif jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Ia bukan pesakit Covid-19, ujian negatif. Ya, ia adalah kes bunuh diri, ada laporan bunuh diri, tetapi bukan pesakit Covid-19," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Kes tersebut dilaporkan berlaku di Hospital Serdang semalam.

Malaysiakini tidak menyiarkan bagaimana cara mangsa membunuh diri kerana ia melanggar garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Mereka yang mahu mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di 03-79568145 atau e-mel sam@befrienders.org.my.

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah mewujudkan talian hotline bagi sokongan psikososial untuk petugas barisan hadapan dan mereka yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian hotline dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang di 011-63996482, 011-63994236, atau 03-9359935. - Malaysiakini