Powered by Blogger.

Sunday, March 15, 2020

Jutawan Hilang Selepas Gelar Presiden China 'Badut'

Seorang jutawan hartanah di China yang pernah menggelar Presiden China, Xi Jinping sebagai ‘badut’ apabila mengkritik usaha kerajaan menangani COVID-19, dilaporkan hilang.

Ren Zhiqiang, ahli Parti Komunis dan juga bekas eksekutif kanan syarikat pemaju hartanah milik kerajaan, Huayuan Real Estate Group, tidak dapat dihubungi sejak 12 Mac lalu.

Teman rapat dan ahli perniagaan, Wang Ying, menyifatkan kehilangan Ren sebagai ‘sangat membimbangkan’.

“Ramai rakan kami cuba mencarinya. Ren Zhiqiang adalah seorang yang dikenali umum dan kehilangannya diketahui ramai.

“Pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara ini perlu memberi alasan kukuh secepat mungkin,” katanya.

Panggilan yang dibuat pihak Reuters juga gagal dijawab Ren manakala polis Beijing tidak memberi maklum balas untuk sebarang komen melalui telefon atau faks.

Sebelum ini, Ren menulis karangan yang dikongsi dengan beberapa individu dikenalinya, mengkritik ucapan Xi pada 23 Februari lalu, yang dikongsi secara sidang video dengan 170,000 anggota parti.

Namun, karangan berkenaan kemudian dikongsi dalam talian oleh orang lain, di mana dalam karangan berkenaan, tanpa menyebut nama Xi, Ren mengkritik beliau.

Ren menulis, selepas meneliti ucapan yang dibuat, beliau ‘tidak melihat seorang pembesar berdiri mempamerkan pakaian baru, sebaliknya menyaksikan seorang badut bogel yang bersungguh-sungguh mahu kekal sebagai pembesar’.

Ren juga mendedahkan krisis tadbir urus dalam parti selain mengkritik kebebasan bersuara dan media dalam melaporkan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan ia lambat ditangani.

Coronavirus baharu yang muncul di Wuhan akhir tahun lalu itu setakat ini sudah menjangkiti lebih 80,000 orang dan mengorbankan 3,199 nyawa di China. - Berita Harian Online