Dalam satu kenyataan media hari ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan yang diberikan hingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac lalu, adalah semata-mata satu tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dari krisis politik berterusan.
Antara garis persetujuan yang dicapai, menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kerajaan baharu harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan.
“Kerajaan baharu ini harus melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama, kenegerian dan darjat.
“Kerajaan baharu tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang dilakukan Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, dalam menguruskan isu yang menyentuh sensitiviti hubungan kaum negara ini,” katanya lagi.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas MKT Khas UMNO yang Ahmad Zahid pengerusikan, bersidang hampir 3 jam, di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan terus bertindak sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.
“UMNO juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan Pas dan juga memperkukuhkan Barisan Nasional bersama MCA, MIC, dan PBRS.
“UMNO terus komited mepertahankan kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama mana aspirasi rakyat dipelihara dan memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi. - Astro AWANI