Skip to main content

Adik Aidan Fahim Derita Hidrosefalus Bernafas Sendiri Selepas Hari Ke-42 Dilahirkan 😭

KUASA ALLAH tiada siapa pun boleh halang. Bagaikan satu keajaiban apabila adik Aidan Fahim yang menderita hidrosefalus atau dikenali penyakit kepala besar mampu bernafas sendiri selepas hari ke-42 dilahirkan.

Ramalan doktor yang memaklumkan si kecil itu hanya mampu bertahan dua minggu sahaja selepas alat sokongan pernafasan itu dibuka tidak benar sama sekali. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik perancang.

Seolah-olah ‘tahu’ ibu bapanya bergantung harap kepadanya, Aidan terus kuat semangat berjuang untuk meneruskan hidup dan kini sudah berusia setahun dua bulan.

Kongsi ibunya, Nursuhada Jaafar, saat dimaklumkan dirinya disahkan hamil anak kembar, beliau bagaikan bermimpi kerana buat pertama kalinya dikurniakan anugerah ‘syurga‘ yang cukup istimewa.

Sungguhpun begitu, hati ibu mana tidak luluh apabila dimaklumkan salah seorang kembar itu menghidap penyakit hidrosefalus akibat lebihan air di dalam kepala.

Keadaan abnormal itu dikesan ketika kandungannya berusia 18 minggu. Kepala si kecil mula membesar dengan ukuran lilit 46 sentimeter sewaktu dilahirkan pada 8 Januari setahun lalu di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang.

Bagi ibu kepada lima anak itu, beliau sekali lagi diuji apabila keadaan Aidan Fahim lemah dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selama 42 hari selepas ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HOSHAS sebaik sahaja dilahirkan.

”Saya masih ingat lagi, doktor pujuk kami untuk benarkan mesin bantuan pernafasan dicabut pada hari ke-14 apabila melihat keadaan Aidan yang lemah. Tapi saya dan suami berkeras tidak bersetuju,” ujarnya sebak.

Kongsi Nursuhada, saiz kepala Aidan semakin membesar sehingga berukuran lilit 64 sentimeter selepas berusia lima bulan. Tidak dinafikannya, hatinya selalu gundah-gulana memikirkan keadaan anak bongsunya itu.

”Paling membuatkan saya sering berdebar apabila Aidan batuk kahak sehingga ubun-ubun kepalanya ke dalam dan menekan matanya. Paling takut kalau dia diserang sawan tiba-tiba.

”Namun alhamdulillah, Aidan anak yang kuat dan mudah dijaga. Selepas menjalani pembedahan untuk memasukkan alat VP Shunt di bahagian belakang kepala bagi mengawal lebihan air, keadaannya semakin stabil,” ujar wanita berusia 31 tahun itu sambil mengukir senyuman.

Kini, Aidan sudah pandai menunjukkan emosi gembira. Apabila diagah, ketawa riang sehingga menampakkan lima gigi comel yang baru tumbuh seusia setahun dua bulan.

Perubahan positif Aidan yang serasi selepas pembedahan itu memberikan cahaya baharu buat Nursuhada dan suaminya, Mohd Salfarulizaman Kamarul Baharin, seorang penyelia vendor syarikat automotif tempatan.

”Kami sangat bersyukur Aidan semakin pulih walaupun tidak sepenuhnya. Sekurang-kurangnya keadaannya lebih baik berbanding dahulu. Sudah pandai tunjuk keterujaan bila saya goncang-goncang botol susu.

”Kadang-kadang gelak bila si abang kembarnya mengusik. Meskipun doktor ada maklum risiko jangkitan yang mungkin dihadapi, namun syukur Aidan budak yang kuat,” katanya. Mereka sekeluarga kini menetap di Serendah, Selangor.

Rawatan susulan empat bulan sekali dan fisioterapi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur menjadi rutin Aidan. Prosedur itu perlu dipatuhi buat masa ini sebelum dirujuk kepada pakar mata ketika umurnya mencecah tiga tahun nanti.

”Sekarang ini kami meneruskan pemeriksaan susulan untuk perkembangan lanjut. Sudah semestinya menjadi harapan untuk melihat Aidan membesar dengan sihat seperti abang kembarnya.

”Meskipun kami diuji dengan dugaan seumpama ini, alhamdulillah sepanjang menjaga Aidan cukup mudah. Si bongsu ini tidak banyak ragamnya,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan bantuan berbentuk dana kewangan bagi meringankan beban Aidan, boleh salurkan ke akaun Maybank 1561 1419 0801 atas nama Nursuhada Jaafar. - Sinar Harian
 hidrosefalus

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...