Bapanya, Tuan Muhammad Shahrul Azlan Tuan Abdul Rahman, 27, berkata, pembedahan bayinya itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM160,000.
"Sepatutnya Raisha diterbangkan ke India dalam dua hari lagi (20 Februari), namun terpaksa ditangguhkan kerana dana untuk menampung kos rawatannya masih belum mencukupi.
"Setakat ini duit yang terkumpul sebanyak RM83,000 dan masih berbaki sebanyak RM80,000 untuk rawatan pembedahan hati Raisha yang akan didermakan oleh ibunya, Siti Nur Amira Ibrahim (27)," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sehubungan itu, katanya sumbangan daripada orang ramai amat diperlukan bagi membolehkan bayinya itu mendapatkan rawatan.
"Doktor beritahu tempoh masa untuk Raisha semakin suntuk. Walaupun kewangan belum mencukupi, kami terpaksa juga ke India 27 Februari ini bagi meneruskan rawatan di sana.
"Raisha dan ibunya dijadualkan menjalani pembedahan selepas seminggu daripada tarikh tiba di India manakala tempoh rawatan mereka berdua pula selama dua minggu di unit rawatan rapi (ICU) dan selama dua bulan di wad hospital," katanya.
Tuan Muhammad Shahrul Azlan disamping isteri, Siti Nur Amira dan bayi mereka, Tuan Nur Raisha Mikayla.
Tuan Muhammad Shahrul Azlan berkata, dia perlu membayar terlebih dahulu separuh daripada kos perubatan dan perlu melangsaikan semua bayaran sebelum keluar hospital.
Menurutnya, selain dana bagi kos perubatan, dia juga perlu menampung kos penerbangan dan perbelanjaan sepanjang dua bulan lebih berada di India.
"Saya, isteri, anak dan ibu mertua akan ke sana. Buat masa ini saya dalam proses menyiapkan segala urusan permohonan pasport dan visa untuk setiap seorang.
"Ia juga menelan belanja yang besar dalam RM10,000 untuk satu perjalanan," katanya yang bekerja sendiri manakala isterinya tidak bekerja.
Tuan Muhammad Shahrul Azlan yang tinggal di Kampung Limbongan di sini berkata, bayi sulungnya itu dikesan menghidapi penyakit itu ketika berusia dua bulan.
Katanya, sejak itu dia berulang-alik ke Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak (KWKK) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun katanya, doktor mengesyorkan dia mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Max Healthcare, New Delhi, India ekoran tahap kesihatan Raisha semakin kronik dan kepakaran yang ada di hospital berkenaan.
Ditanya perkembangan bayinya setakat ini, Tuan Muhammad Shahrul Azlan berkata, bayinya hanya minum susu dan tidak begitu berselera untuk makan.
“Dia nampak tidak begitu selera untuk makan dan hanya bergantung pada susu,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu Raisha boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Tuan Muhammad Shahrul Azlan (5130-4123-1892) atau hubungi talian 014-3999306.
"Sebarang bantuan sila salurkan ke akaun itu sahaja kerana ada beberapa pihak yang telah mengambil kesempatan terhadap kesulitan kami," katanya. - Sinar Harian