Pelajar Tingkatan 3 Hempas Cikgu Ke Lantai

Hanya kerana menegur seorang pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen ke sekolah, seorang guru lelaki telah ditumbuk dan dihempas pelajar berkenaan ke lantai.

Kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah di Song, Kapit, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan, Rowney Michael Jalak berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.50 pagi itu, suspek yang berusia 15 tahun dilaporkan tidak berpuas hati terhadap teguran guru tersebut.

"Pelajar tingkatan tiga terbabit juga bertindak mengangkat serta menghempas guru bersaiz tubuh kecil berkenaan ke lantai sehingga pengadu mengalami luka di kepala dan tangan sebelah kiri.

"Suspek juga naik hantu dan membelasah guru yang bersaiz tubuh kecil sehingga lebam di pipi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kejadian itu disaksikan oleh seorang lagi guru yang kemudian bertindak meleraikan keadaan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - Astro AWANI