2. Nabi Musa dan Nabi Harun adalah dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Mereka adalah adik beradik, namun karakter mereka jelas sekali berbeza. Musa orangnya keras, sedang Harun orangnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Harun membalas dengan baik dengan katanya:
قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي
Maksudnya: Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: "Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" Surah Taha: 94.
3. Nabi Harun orangnya fasih sedang Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada Allah supaya Allah mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur. Kata Nabi Musa:
وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا
“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku” Surah al-Qasas: 34.
3.1 Menurut al-Imam Ibn Kathir, Musa mempunya sejarah yg menyebabkan beliau menjadi sedemikian. Ketika kecil, beliau diberikan pilihan antara tamar dan bara api oleh Firaun untuk menguji anak kecil ini. Musa telah memilih bara lalu diletakkan pada lidahnya yang menyebabkan terdapat gangguan kepada lisan beliau. (Ibn Kathir, Tafsir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1419H, 6/212)
4. Walaupun memiliki karakter yg berbeza, dua beradik ini adalah pasangan yg ideal dalam dakwah. Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah melantik Harun, abangnya sebagai pembantu. Perlantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah:
وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
"Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] – Surah Taha: 30-34.
5. Bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa juga direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai dikalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri?
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأَخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِك
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf:151)
6. Hubungan adik beradik tidak sunyi dari perselisihan. Perkara ini diungkapkan oleh Allah di dalam kisah Nabi Yusuf dan abang-abangnya. Perselisihan antara Yusuf dan abang-abangnya menggambarkan bahawa hasad itu boleh berlaku sesama adik beradik sendiri. Malah kemuncaknya boleh membawa kepada perancangan pembunuhan berlaku. Namun Allah memberikan pengajaran kepada kita bahawa kemaafan adalah nilai yang tertinggi di dalam kisah ini.
Tidak dapat kita gambarkan bagaimana seorang abang merancang untuk membunuh adiknya sendiri dan seorang adik boleh memaafkan abangnya yang membuangnya di dalam perigi yang gelap. Apakah kita mampun memaafkan adik beradik kita sebegini?
7. Dan kisah Qabil dan Habil pula adalah contoh yang jelas akan persaingan adik beradik. Sekalipun persaingan mereka adalah bagi merebut redha Allah, ia boleh membawa kepada jenayah berlaku. Allah mendidik kita bahawa hanya mereka yang ikhlas dan bertaqwa yang akan mempunyai tempat di sisi Allah kelak.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi