Powered by Blogger.

Wednesday, December 4, 2019

Suspek Tembak Mati Remaja Saman Keluarga Mangsa RM417 Juta



MIAMI : George Zimmerman, lelaki yang menembak mati Trayvon Martin di Florida pada 2012, memfailkan saman melebihi AS$100 juta (RM417 juta) ke atas keluarga mangsa, peguam mereka dan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kata peguamnya semalam.

Zimmerman berkata, dia menembak mati Martin, seorang remaja Afrika Amerika bagi mempertahankan diri, namun keluarga dan rakan-rakan mangsa mendakwa, ia didorong oleh sentimen perkauman.

Peguam defendan, Larry Klayman dalam satu kenyataan berkata, saksi utama pendakwa ketika perbicaraan kes pada 2013 adalah seorang penyamar yang memberikan kenyataan palsu, dengan niat menganiayai Zimmerman selepas dipujuk pihak lain.

“Zimmerman yang dijatuhkan hukuman mati dihukum secara tidak adil berdasarkan bukti palsu, dan memfailkan saman berjumlah AS$100 juta,” katanya.

Peguam keluarga Martin, Ben Crump menyelar tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas serta cubaan memalukan untuk mengaut untung daripada kesedihan orang lain.

“Zimmerman mahu kami percaya bahawa dia tidak bersalah dan menjadi mangsa satu konspirasi, walaupun tidak memiliki sebarang bukti kukuh untuk menyokong dakwaan itu.

“Ia adalah satu dongeng yang tidak logik dan sudah tiba masa untuk kita menutup pintu terhadap imaginasi tidak berasas ini,” kata Crump.

Zimmerman menembak mati Martin, seorang pelajar sekolah tinggi pada Februari 2012 ketika mangsa sedang berjalan ke rumahnya sambil membawa makanan ringan dan teh ais.

Dia menegaskan sudah mengekori remaja terbabit sejak awal ketika menjalankan tugas sebagai pemerhati kawasan kejiranan itu dan mengesyaki mangsa terbabit dalam rompakan.

Perbicaraan kes berkenaan dan keputusan mahkamah untuk membebaskan lelaki itu melebarkan jurang perkauman AS dan menimbulkan bantahan orang ramai di seluruh negara. - Berita Harian Online