Selepas berdepan dengan kritikan hebat, anggota parlimen Jelutong, RSN Rayer, menarik diri daripada mewakili seorang ahli perniagaan yang didakwa terbabit dalam skandal penjualan kad pengenalan Malaysia (MyKad) di Pulau Pinang,
Menurut Rayer, dia bertindak sebagai peguam bela kerana dilantik oleh keluarga tertuduh , Lai Chin Wah, pada 18 Sept lalu.
Bagaimanapun Rayer tetap menegaskan, di sebalik tindakannya menarik diri itu, tidak berlaku sebarang konflik kepentingan seperti dianggap sesetengah pihak.
"Saya masih berpendapat tiada konflik kepentingan jika saya terus mewakili Lai kerana negara ini mengamalkan sistem pemisahan kuasa.
"Tidak ada undang-undang menghalang saya mewakili Lai kerana dia tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah," katanya.
Lai didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di George Town bersama lima yang lain pada 12 Sept lalu kerana dituduh menjual sijil kelahiran, MyKad dan pasport negara ini kepada warga asing antara Jan hingga Mac lalu.
Mereka didakwa di mahkamah berasingan dan berdepan 32 pertuduhan.
Rayer berkata secara peribadi dia tidak berasa terancam dengan kecaman dan bantahan pihak yang tidak senang dengan tindakannya mewakili tertuduh terbabit.
Namun katanya dia tidak mahu orang ramai menggunakan alasan tersebut untuk menyerang kerajaan.
Keputusan menarik diri itu dibacakan Rayer di depan hakim Norsalha Hamzah hari ini.
Jika didapati bersalah mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. - Malaysiakini