BANGALORE: Berang tidak dapat bermain permainan dalam talian PUBG, seorang pemuda bertindak kejam dengan membunuh bapanya menggunakan sebilah pisau pemotong daging.
Agensi berita Bangalore Mirror melaporkan Raghuveer Kumbar, 25, melakukan tindakan sadis itu selepas bapanya Shankrappa Kumbar, 60, yang juga merupakan pesara polis, enggan memberinya wang untuk menambah nilai capaian internetnya.
Ekoran perbalahan berterusan, Raghuveer mengunci ibunya di dalam bilik sebelum bertindak mengambil pisau dan membunuh bapanya sendiri, lapor IndiaTimes.
Bukan itu saja, Raghuveer turut mengerat mayat bapanya kepada beberapa bahagian.
Jiran yang terdengar jeritan dari dalam rumah Shankrappa terus membuat panggilan kecemasan kepada polis.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Raghuveer adalah disebabkan oleh ketagihan melampau suspek dengan permainan PUBG.
Siasatan lanjut sedang dijalankan. - Astro AWANI