Kerajaan Pakatan Harapan Tipu Rakyat - Najib




Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HP) telah memperdayakan rakyat Malaysia apabila mereka telah meneruskan projek mega Lebuhraya Pan Island LInk (PIL-1).

Bekas perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mendapati kos projek tersebut telah meningkat kepada RM 9 bilion berbanding harga asalnya yang hanya bernilai RM 7.5 bilion.

Sebelum ini PH dikatakan sering mengecam pentadbirannya apabila beliau telah memulakan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer (km) yang didakwa menelan belanja yang terlalu mahal dan membazir sedangkan menurut beliau manfaatnya dikatakan cukup besar untuk rakyat serta lima negeri yang terbabit dengannya.

"PH mendakwa harga RM55 bilion untuk 688 km iaitu RM80 juta satu km, terlalu mahal walaupun projek ini termasuk kos kereta api, kos membina 27 stesen serta pembinaan terowong sepanjang 50 km akan memberi manfaat kepada lima negeri yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan dan berjuta-juta rakyat Malaysia.

"Tetapi peliknya, apabila PH tegas untuk membuat projek mega seperti projek PIL-1 sepanjang 19.5 km yang dahulunya dianggarkan bernilai RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km) dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km), walaupun dibantah penduduk Pulau Pinang kerana membabitkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan.

"Difahamkan kerajaan Pulau Pinang sudah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sebagai modal permulaan projek PIL ini," katanya dalam catatan terbarunya di Facebook.

Malah Najib juga turut membandingkan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) ketika dibawah pemerintahannya pada 2015 yang hanya menelan kos RM161 juta untuk satu km tetapi telah didakwa oleh pemimpin DAP sebagai termahal di negara dan membazir tetapi jika di bandingkan dengan projek lebuh raya tersebut yang menelan kos RM461 juta per satu km ianya adalah lebih mahal.

Katanya, beliau juga pelik apabila kerajaan boleh membeli Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan harga RM2.55 bilion iaitu 10 kali ganda lebih mahal daripada tawaran asal kerajaan Selangor pada 2013 dan memberi RM1 bilion untuk projek PIL, tetapi enggan membayar wang sara hidup untuk peneroka FELDA, nelayan, menaikkan gaji penjawat awam dan terbaru mahu mengurangkan jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Ini sekali gus membuktikan bahawa serangan dan tohmahan bertalu-talu dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berjaya menyembunyikan realiti bagi memperdaya rakyat," katanya. - Berita Harian Online