Skip to main content

Cuba Lupus Mayat Adam Rayqal Dalam Peti Sejuk Bersambung.


KUALA LUMPUR: Kes pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Ia adalah sebutan pertama selepas kali pertama dihadapkan di mahkamah itu pada 15 Julai lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said akan dimaklumkan perkembangan terkini kes, dan jika semua dokumen siasatan sudah lengkap, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan.

Noor Aqilah Abd Rahman, 33, yang didakwa atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa Julai lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Tertuduh yang diwakili peguam M Dinesh dan Mohd Redzuan Mohamed Yusoff dibebaskan dengan ikat jamin RM18,000 serta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala bayi berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves di sini, antara jam 6.20 dan 6.50 petang pada 3 Julai lalu.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin akan membacakan keputusan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh seorang wanita berhubung rampasan cakera padat (CD) ajaran Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Jill Ireland Lawrence Bill sebelum ini mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas lapan CD itu.

Mahkamah sebelum ini sudah memerintahkan KDN memfailkan laporan pakar berhubung penggunaan kalimah Allah sama ada ia eksklusif untuk orang Islam atau tidak.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Rendah (LCCT), Sepang.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD itu dikembalikan kepada Lawrence Bill, tetapi mahkamah tidak mengeluarkan perintah terhadap pengisytiharan yang dimohon wanita itu bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan Allah.

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan KDN memulangkan lapan CD mengandungi kalimah Allah milik Lawrence Bill selepas menolak rayuan KDN dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan permohonan pengisytiharan itu didengar semula di Mahkamah Tinggi. - Berita Harian Online

Popular posts from this blog

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...