Powered by Blogger.

Friday, July 13, 2018

Walaupun Diserang Penyokong Indonesia, Pemain Tetap Bersemangat Buru Kejuaraan Aksi Final


Pemain muda negara tetap bersemangat untuk turun beraksi di pentas final menentang Myanmar bagi memburu kejuaraan pertama Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) esok meskipun melalui detik mencemaskan diserang penyokong Indonesia malam tadi.

Skuad kendalian Bojan Hodak akan beraksi sekali lagi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo apabila menyingkirkan pasukan tuan rumah Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar separuh akhir tamat 1-1.

Bagaimanapun apa yang lebih mendebarkan buat pemain negara selepas permainan berakhir apabila mereka diserang oleh penyokong tuan rumah dengan balingan botol minuman dan batu sehingga memaksa mereka berlari ke bilik persalinan bagi mendapatkan perlindungan.

Bagi tonggak skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, ia saat menakutkan buat dirinya dan pemain lain apabila merasai pengalaman itu buat kali pertama.

"Memang pemain berasa takut kerana mereka membaling botol minuman, batu ke arah kami malah ada yang membaling botol kaca jadi memang bahaya. Kami terpaksa berlindung di tengah padang terlebih dahulu sehingga penyokong Indonesia keluar stadium.

"Kami kemudian terpaksa berlari masuk ke bilik persalinan dengan kawalan pihak keselamatan. Memang ketika menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan, masih ada penyokong Indonesia menunggu kami di luar stadium, mujurlah mereka tidak melakukan sebarang tindakan sebaliknya hanya bersorak kepada kami," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Insiden itu bagaimanapun langsung tidak menjejaskan fokus Shivan menjelang pertembungan dengan Myanmar bagi memburu kejuaraan pertama selepas gagal dalam lima aksi final sebelum ini.

Malah pemain tengah skuad Piala Presiden PKNS FC itu yang menyumbat gol tunggal perlawanan menewaskan Myanmar pada peringkat Kumpulan B percaya ini detik terbaik untuk mereka melakar sejarah baru.

"Kami sudah lupakan insiden semalam, kami perlu bersedia untuk berdepan Myanmar. Ini peluang untuk kami menebus kekalahan di final tahun lalu (0-2 kepada Thailand). Kami tidak boleh memandang rendah Myanmar kerana mereka menyingkirkan Thailand untuk bermain di final kali ini," katanya.

Keyakinan itu turut dikongsi seorang lagi pemain utama skuad muda negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat biarpun semangat mereka cuba direntap penyokong Indonesia.

"Ini kali pertama saya berdepan situasi cemas seperti itu. Penyokong Indonesia tidak profesional kerana tidak boleh menerika kekalahan. Sebagai tuan rumah sepatutnya melayan 'tetamu' dengan baik dan tidak bertindak demikian.

"Mujur kami sudah bersedia dari segi mental kerana jurulatih sudah memberi peringatan awal kepada kami. Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk berdepan satu lagi halangan, Myanmar di final esok," kata pemain Kelantan itu. - Berita Harian Online