Harga Barang Tidak Turun Walaupun GST Disifarkan - Najib


Datuk Seri Najib Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) pernah memberi amaran terhadap bahaya perubahan sistem cukai secara sewenang-wenang yang boleh memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat.

Bekas Perdana Menteri berkata, harga barang tidak turun walaupun kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan.

Beliau turut bimbang dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperluaskan September ini.

Ini kerana, katanya langkah itu akan memberi kesan terhadap harga barang yang dijangka mungkin jauh lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan.

"Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) mengenai ini.

"Ini sudah tentu memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan ini bertentangan dengan janji Pakatan Harapan (PH) yang memberi setinggi harapan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dalam manifesto mereka.

"Saya harap kerajaan PH akan buat sesuatu untuk memastikan kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan," katanya dalam entri terbaru di Facebooknya, hari ini.

Menerusi portal berita, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, penurunan harga barangan yang rendah menjadi punca rakyat masih belum merasai sepenuhnya pelaksanaan GST pada kadar sifar sejak 1 Jun lalu

Beliau dilaporkan berkata harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan membabitkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.

Najib berkata, beliau terkejut dengan kenyataan menteri yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik, biarpun ia menjadi modal dan tohmahan terhadap kerajaan pimpinannya sebelum PRU-14.

"Pada masa itu, PH tidak menerima jawapan kita malah mempersendakannya. Kini PH terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan mereka sendiri," katanya. - Berita Harian Online