Barangan Kemas Rosmah Boleh Dirampas. - Kastam


Barangan kemas dari firma Lubnan yang dihantar kepada bekas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mungkin tertakluk kepada rampasan jika ia belum diisytiharkan kepada Jabatan Kastam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata demikian ketika ditanya mengenai hantaran 44 unit barangan kemas berkenaan, yang kini ditahan oleh polis.

"Polis belum menghubungi kami. Apa-apa barang yang belum atau tidak diisytiharkan juga boleh dirampas," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Subromaniam mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana barangan kemas itu dibawa masuk tanpa melalui pemeriksaan kastam.

"Adakah konsainan ini diisytiharkan kepada Jabatan Kastam apabila dibawa masuk ke Malaysia?

"Siapakah yang menerima barangan ini? Adakah duti kastam dibayar? Bagaimana penghantaran barang-barang ini sampai kepada Rosmah dengan selamat sedangkan nilai barangan kemas ini sangat besar ini?" soal Rayer dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan Global Royalty, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

Sebelum ini tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dan dirampas oleh polis pada Mei.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Firma itu mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui menerima barangan berkenaan.

"Beliau mengakui secara bertulis mengenai penerimaan konsainan itu, tetapi tidak lagi dalam jagaannya kerana ia dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia," kata kenyataan tuntutan itu. - Malaysiakini