Skip to main content

Kerajaan Tetap Pilih Tommy Jadi Peguam Negara


Perdana Menteri hari ini mengesahkan kerajaan tidak akan mengemukakan nama lain untuk mengisi jawatan peguam negara walaupun dilaporkan nama Tomy Thomas tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan percaya cadangan yang dikemukakan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak (melantik peguam negara) berdasarkan nasihat perdana menteri.

"Jadi kita berpegang kepada prinsip itu," katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah petang ini.

Beliau juga memberitahu usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Justeru, kata Dr Mahathir "tidak ada manfaat" bagi beliau memberi penjelasan lanjut mengenainya.

Menggantikan peguam negara antara proses awal yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Penyandang sebelum ini - Tan Sri Mohamed Apandi Ali - menjadi satu daripada individu yang disasarkan dalam kempen HARAPAN menjelang pilihan raya umum lalu.

Apandi dianggap tidak sesuai meneruskan khidmatnya sebagai peguam negara ekoran pembabitan beliau secara langsung dalam siasatan skandal 1MDB.

Media melaporkan kerajaan mengemukakan nama Tommy bagi mengisi kekosongan jawatan peguam negara namun ia belum mendapat perkenan Agong.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa Tommy tidak sesuai menjadi peguam negara ekoran hubungannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berkata peguam itu juga pernah menjalankan tugas bagi ramai orang.

"Peguam-peguam (biasanya) mengambil kes yang memberi pendapatan kepada mereka," katanya.

Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan peguam negara pada Selasa ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

Syed Danial berkata ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.

"Raja-Raja Melayu mengikuti perkembangan ini (jawatan peguam negara) dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

"...Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong".

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir berkata Mohamed Apandi diberikan cuti berikutan terdapat beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. - Malaysiakini 

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...