Timbalan Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kesimpulan bahawa hutang negara kini telah mencapai angka RM1 trilion.
Mengulas laporan Bank Negara pada Disember tahun lalu, Khairul menegaskan hutang negara hanya berjumlah RM686.8 bilion.
"Di mana perdana menteri dapat angka RM1 trilion? Adakah penasihat barunya gagal membekalkan maklumat yang betul kepadanya?
"Atau ini hanya satu taktik politik untuk menyalahkan bagi menjadikan rakyat fikir hutang negara yang ditanggung kerajaan Pakatan Harapan adalah kesalahan pentadbiran terdahulu?" soal Khairul Azwan dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Azwan, yang juga Timbalan Ketua Pemuda Umno, menegaskan laporan Bank Negara pada Mac tahun ini menunjukkan ekonomi domestik berada dalam keadaan baik.
"Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang kukuh antara 5.5 peratus dan 6 peratus pada 2018," katanya.
Dalam perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri hari ini Mahathir berkata hutang negara telah melepasi paras RM1 trilion berbanding RM300 bilion sebelumnya.
“Kita dapati kewangan negara umpamanya telah dicabul dengan begitu besar sehingga sekarang ini kini menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat kepada trilion ringgit," katanya.
Angka hutang negara yang disediakan Mahathir hari ini jauh lebih tinggi daripada angka rasmi yang diberikan oleh pentadbiran sebelumnya.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata kerajaan mencatatkan hutang sebanyak RM687.43 bilion pada September 2017.
Awal bulan ini, The Edge Financial Daily melaporkan hutang kerajaan berkembang pada kadar purata 10 peratus setahun daripada RM266.72 bilion pada tahun 2007 kepada RM687.43 bilion pada September 2017 ekoran perbelanjaan yang berlebihan.
Akhbar kewangan itu memberi amaran bahawa hutang negara boleh melebihi RM1 trilion pada tahun 2021 jika ia terus berkembang pada kadar purata yang sama sebanyak 10 peratus seperti pada dekad yang lalu.
Tidak lama selepas memegang jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, Mahathir berjanji mengurangkan perbelanjaan kerajaan. - Malaysiakini