Video Parodi Boleh Jatuh Haram


KUALA LUMPUR: Meniru gaya orang lain atau lebih dikenali sebagai ‘parodi’ semakin menjadi kegilaan anak muda pada zaman sekarang tidak kira lelaki mahupun wanita.

Video parodi mula mendapat tempat di hati anak muda khususnya lelaki di mana mereka akan mengenakan pakaian wanita dengan melakukan tutorial solekan, aksi tarian ghairah iaitu meniru gaya selebriti Barat dan juga turut berucap seperti pemimpin dengan menukar dialog berbaur kontroversi adalah parodi yang menarik perhatian ramai sehingga ianya tular di laman sosial.

Aksi sebegini lazimnya akan mendapat perkongsian secara meluas dan turut mendapat jutaan ‘likes’, dan ada juga dalam netizen turut memberi pelbagai komen sehingga mereka cenderung untuk mengaib serta memfitnah individu terbabit apabila perbuatannya itu ditiru.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, parodi bermaksud suatu karya sastera, seni dan lain-lain yang meniru gaya pengarang, penciptanya dengan cara melucukan ataupun menyindir.

Namun budaya sebegini bukanlah budaya masyarakat Islam, sebaliknya budaya parodi ini berasal dari negara Barat di mana mereka menggunakan cara ini sebagai salah satu cara untuk mereka meluahkan perasaan tanpa ada batasan akhlak

Perkara sebegini amatlah bertentangan dengan budaya masyarakat Islam di mana Islam sangat menekankan budaya serta ajaran yang baik.

Haram Buka Aib Orang Lain

Umat Islam sepatutnya sedar segala perbuatan yang dilakukan mereka di atas dunia ini akan ada ganjaran dan azab daripada Allah SWT suatu hari kelak.

Justeru, kita dinasihatkan supaya sentiasa menepati landasan Al-Quran dan Sunnah termasuk dalam hal meluahkan perasaan, hatta dengan alasan sekadar untuk berhibur.

Menurut Pendakwah bebas, Taha Mohd Omar, berkata pandangan Islam dalam hal berjenaka secara umum adalah harus, bagaimanapun ianya boleh menjadi haram apabila jenaka yang dibuat itu berniat mahu menjatuhkan maruah seseorang.

Dalam pada masa yang sama, budaya mengaibkan orang lain menerusi parodi sangatlah ditegah dalam Islam.

Menerusi Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah Al-Hujurat, ayat 11).

Tambahnya lagi, umat Islam haruslah sentiasa berhati-hati dalam isu berkaitan parodi kerana ia bukan hanya bersangkut-paut dengan orang yang melakukan aksi itu, tetapi tempiasnya juga akan terkena kepada individu yang menonton serta pihak yang menjadi mangsa.

“Dosa besar bagi orang yang melakukan lawak parodi jika ia mengaibkan dan tidak menjadi kesalahan yang menonton sekali sahaja atau atas sebab tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi viral.”

“Jika ditonton berulang kali dan terus tertawa, maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana dengan sengaja mempersendakan. Lebih parah jika ia dikongsi pula kepada rakan lain,” katanya.

Jangan Bodohkan Diri Sendiri

Disamping itu, bagi mereka yang menjadi mangsa pula, mereka tidak akan menanggung dosa kecuali jika penulisan, muzik dan lakonan asalnya mengandungi perkara yang tidak baik seperti tidak menutup aurat dan percampuran bebas di antara lelaki serta perempuan.

Islam juga telah mengajar kita untuk tidak memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan ajaran agama termasuk melakukan parodi yang sia-sia.

Ulasnya lagi, gejala untuk menghasilkan parodi negatif ini perlulah dibendung dengan memperkenalkan kaedah lain seperti menghasilkan video saduran lagu popular dengan menggunakan lirik yang lebih bermanfaat, selain memperbanyakkan video tazkirah iaitu teguran kepada parodi asal secara berhikmah.

“Cara terbaik meluahkan perasaan atau menegur individu tertentu termasuk dalam kalangan pemimpin boleh dibuat dengan cara lebih murni seperti hasilkan video berbentuk nasihat, tazkirah atau menulis surat terbuka di Facebook,” katanya.

Inginkan Perhatian

Pendakwah muda, iaitu Da’i Wan Dazrin Wan Din juga turut menjadi perhatian netizen kerana dia lantang menegur parodi yang menyalahi hukum syarak dan turut menasihati umat Islam supaya tidak membuka ruangan fitnah kepada Muslim yang lain.

Walaupun ada yang memberi alasan parodi bahawa parodi itu telah mendapat persetujuan daripada watak yang dilakonkan, ia bukanlah tiket untuk membenarkan perkara itu berlaku kerana ada pertimbangan lain yang perlu diperhalusi termasuk mengambil kira kesan video terbabit kepada masyarakat.

“Kebanyakan orang yang terjebak dalam parodi ini ingin mendapatkan perhatian ramai menyebabkan mereka cenderung membuat aksi melampau.”

“Bayangkan video parodi lelaki mengenakan tudung dan bersolek menyerupai wanita dan menari terkinja-kinja, ia bukan sahaja melanggar syariat, bahkan menyebabkan maruah Muslimah yang selama ini dijaga oleh Islam turut tercalar,” katanya.

Tegur Dengan Cara Yang Baik

Menurut Wan Dazrin, cara terbaik untuk membuat teguran adalah dengan memberi nasihat kepada pihak yang melakukan kesalahan tetapi ianya haruslah dilakukan dengan cara yang lebih baik bukannya melalui video parodi.

Tujuan teguran itu bukannya untuk mengaibkan, sebaliknya untuk menyampaikan nasihat supaya kesilapan terbabit dapat diperbetulkan dan pada masa yang sama adalah untuk mengelak lebih ramai terjebak dalam rantaian dosa akibat komen negatif serta perbalahan di laman sosial.

“Jika parodi yang dibuat itu mendatangkan kesan positif atau memberikan inspirasi kepada masyarakat secara amnya, ia diharuskan dalam Islam.”

“Islam tidak melarang apa juga bentuk hiburan, tetapi biarlah yang memberi faedah. Alangkah baiknya jika kita menghasilkan parodi yang menggalakkan masyarakat mengamalkan sunah Rasulullah S.A.W,” katanya.

Sebelum melakukan sesuatu perkara masyarakat haruslah lebih peka supaya parodi yang dilakukan tidak mengaibkan orang lain.

Selain daripada itu, individu yang ingin melakukan parodi haruslah menyelidik terlebih dahulu sama ada bahan parodi tersebut bertentangan atau dibenarkan Islam.

Sebaiknya, sesuatu parodi yang dihasilkan haruslah dapat memberi impak yang positif kepada anak muda supaya mereka tidak terpengaruh dengan perbuatan yang sia-sia dan membuang masa. Sumber: Berita Harian, Editor: Amira