Azrel Ismail Tak Campur Urusan Peribadi Fathia, Zahirah


KUALA LUMPUR: Seorang pelakon iaitu Azrel Ismail berkata bahawa dia tiada sebarang masalah sepanjang bergandingan dengan dua aktres sensasi iaitu Fathia Latiff dan Zahirah Macwilson.

Menurut Azrel, 33, dia dikatakan pernah bekerjasama dengan dua pelakon terbabit untuk sebuah drama iaitu La Luna dan dia memberitahu bahawa dia mempunyai hubungan yang baik dengan mereka berdua.

"Saya tak ada masalah dengan dua pelakon ini. Walaupun nama Fathia dan Zahirah agak 'panas' sedikit tahun lalu tapi saya okay sahaja dengan mereka.”

"Mereka adalah rakan saya dan diakui sangat berbakat. Jika menerima tawaran berlakon bersama lagi, saya pasti tidak menolak," katanya.

Tahun lalu, nama pelakon cantik iaitu Fathia Latiff mula menjadi sebutan ramai apabila dia digugurkan daripada membintangi drama La Luna kerana mempunyai masalah disiplin dan wataknya itu telah digantikan oleh pelakon baru iaitu Zahirah Macwilson.

Namun, tidak lama selepas itu, Zahirah yang sedang menjalani penggambaran drama tersebut juga turut terpalit dengan kontroversi apabila dia dikatakan menjadi punca perpisahan pasangan kekasih iaitu Kamal Adli dan Emma Maembong.

Drama La Luna ini adalah di bawah arahan Liza Ismail dan bakal bersiaran di RTM tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Azrel juga berkata bahawa dia lebih selesa bersikap profesional dan tidak mahu mencampuri urusan peribadi orang lain.

Ujarnya lagi, sebagai seorang pelakon sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya.

"Soal peribadi saya tak masuk campur, itu urusan mereka dan tak mahu komen lebih-lebih memandangkan isu mereka agak sensitif.”

"Apa yang penting, sebagai pelakon saya kena buat yang terbaik dan fokus sepenuhnya kerana industri ini adalah karier dan masa depan saya," katanya.

Bercakap mengenai karier seninya, Azrel dikatakan sedang menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod untuk siaran RTM yang berjudul Dia Pengantinku dan bakal memulakan penggambaran drama Encik Sempurna bagi slot Dahlia untuk siaran bulan Ramadan di TV3. Sumber: Mstar Online , Editor: Amira