Skip to main content

Gugurnya Air Mata Isteri, Suami Hanya Mampu Terbaring


JERANTUT - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah keadaan yang dihadapi oleh pasangan Mat Nasir Ismail, 48, dan isterinya Nik Suhaibah Bosu, 37. nasib suami yang menghidap kanser usus tahap empat.

Menurut laporan Sinar Harian, Isteri mana yang tidak sedih bila mengenangkan nasib keluarga apabila suami yang merupakan satu-satunya tempat bergantung kini hanya mampu terbaring setelah disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Nik Suhaibah Bosu, 37, yang menetap di Taman Ria bagaimanapun tetap reda dengan nasib yang menimpa dirinya sekeluarga.

Menurut Nik Suhaibah, suaminya, Mat Nasir Ismail, 48, mula menunjukkan tanda-tanda sakit perut sekitar tahun lalu.

“Saya pun tidak perasan bila, tapi segalanya bermula tahun lalu apabila suami kerap mengadu sakit perut selain mengeluarkan najis berdarah.

Suami kemudiannya ke Hospital Jerantut sebelum diminta ke Hospital Bandar Jengka bagi membuat ujian teropong ke dalam usus. Ketika itulah baru kami tahu suami ada masalah usus,” katanya sambil mengelap air mata yang mengalir.

Tambahnya, Mat Nasir kemudiannya telah menjalani pembedahan sekitar Mac lalu sekali gus di minta untuk menjalani kimoterapi.

“Sepatutnya suami kena buat kimoterapi tapi dia tidak pergi. Saya pun tak tahu mengapa,” katanya memaklumkan dia hanya diberitahu suaminya menghidap kanser usus tahap empat pada Julai lalu. 

Nik Suhaibah berkata, selepas menjalani pembedahan, Mat Nasir dikatakan masih boleh bergerak dan mampu melakukan kerjanya sebagai tukang buat rumah seperti biasa dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

“Ketika itu dia masih boleh bergerak, tapi tak lama lepas tu dia dah mula tak dapat bekerja. Sekitar sebulan lebih yang lalu dia hanya terlantar,” katanya 

Bukan sahaja hanya mampu terlantar, Mat Nasir juga dikatakan tidak boleh menjamah makanan dan hanya minum susu yang disuap menggunakan straw.

Nik Suhaibah berkata, kebiasaannya Mat Nasir dikatakan minum susu tepung yang lebih murah namun sejak Rabu lalu Nik Suhaibah bersama lima adik-beradik Mat Nasir telah mengumpulkan duit untuk membeli susu yang lebih mahal.

“Baru nak cuba susu lebih mahal sikit yang berharga sekitar RM80. Nak tengok sama ada sesuai atau tidak,” katanya.

Tiada harapan sembuh

Apabila ditanya sama ada Mat Nasir perlu mengikuti sebarang rawatan lanjut, Nik Suhaibah memberitahu, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa suaminya kini sudah tidak boleh disembuhkan lagi dan hanya bergantung kepada ubat tahan sakit.

“Dalam sebulan lalu suami dimasukkan ke Hospital Jerantut untuk buat kimoterapi. Masa tu dia dah terlantar. Bila diperiksa doktor pakar, doktor beritahu tak perlu buat kimoterapi, sebab kansernya dah merebak ke paru-paru dan hati,” katanya.

Namun, Nik Suhaibah tetap berusaha membantu suaminya mendapatkan rawatan secara tradisional sebagai salah satu ikhtiar memulihkan penyakit suaminya itu.

Nik Suhaibah dalam rasa sebak memberitahu sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan, namun sedih mengenangkan nasib anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

“Memandangkan saya dan anak-anak bergantung sepenuhnya pada pendapatan suami, sekarang bila suami sakit, kami hilang punca pendapatan.

“Sekarang kami bergantung kepada wang bantuan dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain wang sumbangan orang ramai,” katanya.

'Adik-beradik suami banyak bantu'

Difahamkan anak sulung Nik Suhaibah, Adam Ammar, 11, menerima biasiswa persekolahan manakala anak keduanya, Adni Izzati, 9, pula menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Anak bongsunya, Aqil Amsyar, 6, pula bersekolah tadika dan tidak menerima sebarang bantuan.

Selain perlu menyara persekolahan anak-anak, Nik Suhaibah perlu menanggung kos bayar rumah yang dibeli dan didiami mereka sekeluarga kini dengan kadar RM400 sebulan selain kos bil air dan elektrik serta barangan keperluan harian.

“Setakat ini adik-beradik suami banyak bantu bayarkan duit rumah. Orang ramai juga banyak bantu beri sumbangan. Kalau tak, saya tak tahu macam mana nasib kami sekeluarga,” katanya.

Difahamkan ketika Mat Nasir masih sihat, Mat Nasir turut menanggung ibunya, Kamariah Ag Sulaiman, 66, yang kadang-kala akan menetap bersama mereka.

“Sebelum ni masa dia masih sihat, dia selalu beri duit kepada emak mertua. Sekarang ni dah tak mampu lagi. Emak mertua selalu juga datang ke rumah tolong jaga suami selain perlu berulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan,” katanya ketika menerima kunjungan Yang DiPertua Pas Jerantut, Yohanis Ahmad dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerantut, Mohd Zakhwan Ahmad Badardin, kelmarin. - Sinar Harian

Sumbangan boleh disalurkan ke: Akaun bank RHB: 1560-4400-0949-26 Penama: Mat Nasir Ismail, Nombor telefon: 011-29451351 / 011-19492691 (Nik Suhaibah)

Foto Sinar Harian

Foto Sinar Harian

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...