Bersatu Dan PAS Tegaskan Kerjasama Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15


Bersatu dan PAS hari ini menegaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Dua parti Melayu itu juga menolak sebarang bentuk penjajaran baru untuk menubuhkan kerajaan selepas itu, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.


Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti untuk menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen.

“Bersatu dan Pas sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut.

“Ia sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,” kata kedua-dua parti berkenaan dalam satu kenyataan pada Rabu.Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama dua setiausaha agungnya - Hamzah Zainudin (Bersatu) dan Takiyuddin Hassan.

Pertemuan itu melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” ujar kenyataan itu lagi.
© 2017 Online News - Template Created by goomsite - Proudly powered by Blogger