Padah Cabul Remaja Perempuan, Penjual Aiskrim Dipukul Penduduk Taman Seri Indah


KEPALA BATAS: Padah mencabul seorang remaja perempuan, penjual aiskrim warga Pakistan cedera dipukul oleh penduduk di Taman Seri Indah, Kepala Batas di sini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika suspek berusia 25 tahun itu menjual aiskrim kepada mangsa yang berusia 14 tahun dan adik perempuannya berusia enam tahun, di hadapan rumah mereka pada jam 4.45 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek dipercayai mula menyentuh tubuh mangsa menyebabkan remaja itu terkejut.

"Ketika mangsa sedang memilih aiskrim di dalam tong ais, secara tiba-tiba suspek dikatakan memegang bahunya sehingga menyebabkan dia terkejut dan mengundur ke belakang.

"Ketika mangsa ingin membayar, suspek bertindak memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa dan adiknya yang ketakutan berlari masuk ke kawasan rumah dan menutup pintu pagar, namun suspek masih cuba memanggilnya keluar sambil menunjukkan sejumlah wang.

 Dia bagaimanapun beredar apabila mangsa enggan keluar.

Menurut Noorzainy, suspek yang datang untuk menjual aiskrim di kawasan itu keesokan harinya, telah dipukul oleh orang awam yang berang dengan perbuatannya itu.

"Polis yang tiba di lokasi mendapati suspek cedera di bahagian mulut," katanya.

Noorzainy berkata, suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Imigresen 1959 kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi dua minit 33 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing dipukul seorang lelaki kerana didakwa mencabul remaja perempuan. - Astro AWANI