Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Sallehudin berkata, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut petang semalam, pihaknya mengambil keputusan drastik menutup pasar tersebut setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
Menurutnya, tindakan pantas itu bagi membolehkan MPS melakukan kerja-kerja pembersihan dan operasi sanitasi di sekitar pasar serta kawasan berhampiran.
"Walaupun tidak ada lagi pengumuman rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kes di sini tetapi kita mengambil langkah proaktif dalam melakukan pencegahan.
"Penutupan ini juga membolehkan pihak jabatan kesihatan melakukan tindakan lanjut bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Pasar Besar Seremban setelah mengambil kira kepentingan serta keselamatan orang awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan dan melihat operasi sanitasi di pasar tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.
Zazali berkata, penutupan pasar itu bergantung kepada keadaan sama ada tiga hingga 14 hari seperti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.
"Penutupan juga melibatkan semua kedai berhampiran pasar ini bagi memastikan tiada jangkitan baharu, namun kita akan cuba buat yang terbaik bagi membolehkan pasar ini kembali beroperasi seperti biasa.
"Kalau boleh kita tidak mahu susahkan masyarakat untuk mendapatkan bekalan makanan, kita akan buat sebaik mungkin. Paling maksima tutup tiga hari tetapi itu bergantung kepada arahan jabatan kesihatan," katanya.
Pada Jumaat lalu, seramai 15 daripada 20 peniaga di Pasar Besar Seremban yang mempunyai kontak dengan peniaga di Pasar Borong Selayang menjalani saringan sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19. - Sinar Harian