Powered by Blogger.

Friday, May 1, 2020

Imigresen, PDRM, KKM, ATM, APM serta Rela Serbu Plaza City One

KUALA LUMPUR - Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan besar-besaran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza City One di sini hari ini dipercayai bagi proses dokumentasi.

Pasukan penguat kuasa terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mula berada di kawasan berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut kelihatan memasuki kawasan berkenaan ialah pacuan empat roda, trak serta bas persiaran milik Imigresen.

Difahamkan, proses dokumentasi berkenaan dikatakan selesai kira-kira jam 1.45 petang.

Tidak lama kemudian, trak pihak berkuasa dilihat keluar dari kawasan itu dengan membawa beberapa individu dipercayai warga asing namun perkara itu masih belum disahkan.

Turut difahamkan kehadiran Imigresen di kawasan itu ialah prosedur biasa bagi membantu agensi penguat kuasa lain melaksanakan proses dokumentasi warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di premis tersebut.

Setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Imigresen atau polis berhubung perkara itu.

Terdahulu, pengamal media berkumpul di lokasi tersebut sejak jam 8 pagi bagi mendapatkan maklumat kehadiran pelbagai agensi keselamatan di sekitar kawasan berkenaan. - Sinar Harian