Video: Wanita Sebar Virus COVID-19 Dalam Lif Tular

KETIKA seluruh dunia mengambil langkah berjaga-jaga daripada dijangkiti virus COVID-19, ada pula kalangan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap acuh tak acuh tentang isu penjagaan kesihatan.

Beberapa perkongsian video mula tular yang memaparkan kelibat individu tidak bertanggungjawab yang digelar 'ejen syaitan' dengan sengaja menyebarkan apa yang didakwa virus COVID-19 melalui air liur mereka pada butang lif.

Dalam salah satu rakaman CCTV, seorang wanita warga China di bandar Chongqing dirakam berulang kali meludah ke butang lif.

Suspek wanita berusia 48 tahun yang hanya dikenali sebagai Li dilihat sengaja menyebarkan air liurnya atas alasan ingin meluahkan amarah selepas bergaduh dengan seorang penduduk di situ, lapor Daily Mail.

Video tular itu kemudian memperlihatkan beberapa penduduk lain masuk untuk menggunakan lif yang sama dan menekan butang yang 'diludah' Li sebelum itu.

Li kemudian ditahan dan hasil siasatan mendapati dia tidak mengalami jangkitan koronavirus.

Menerusi kenyataan rasmi, polis mengesahkan bahawa wanita itu sihat secara fizikal dan tidak mempunyai sebarang kontak dengan warga Hubei. - Astro AWANI