Skip to main content

Najib Mengaku Rosmah Beli Barang Kemas RM3.3 Juta Guna Kad Kreditnya

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor membeli barang kemas bernilai RM3.3 juta di Itali menggunakan kad kreditnya pada 2014.

Bekas Perdana Menteri berusia 67 tahun itu berkata, pembelian itu dibuat di sebuah butik barang kemas pada Ogos 2014 sebagai hadiah kepada isteri seorang kenamaan asing.

Semasa diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram, tertuduh berkata beliau yang meminta isterinya membuat pembelian itu.

Terdahulu, Najib memberi keterangan beliau membelanjakan amaun itu untuk membeli barang kemas.

Semasa Sithambaram bertanya kepada Najib berhubung jumlah sebenar barang kemas yang dibeli daripada butik itu, Najib menjawab: "Hanya satu barang kemas."

Sithambaram kemudian meminta bekas menteri kewangan itu merujuk kepada penyata bank beliau bertarikh September 2014 yang menyenaraikan pembelian 10 barang daripada butik itu pada tarikh berkenaan.

Selepas merujuk pada penyata itu, Najib kemudian berkata, ia seperti satu set barang kemas.

"Tampak seperti satu set. Tetapi saya perlu periksa dengan isteri saya. Beliau yang membeli barang ini," katanya.

Sithambaram: Ya, hanya wanita yang tahu apa yang disukai wanita lain (sambil ketawa).

Ditanya siapa yang menyerahkan hadiah itu kepada isteri kenamaan asing itu, tertuduh berkata, ia dibuat menerusi pegawai protokol dan ia merupakan amalan lazim.

Kepada soalan lain, Najib berkata, beliau tidak ingat jika sumbangan berbilion ringgit yang dikatakan diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi telah digunakan untuk usaha bantuan dalam kejadian banjir di Kelantan pada 2014.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberi keterangan bahawa perbelanjaan ribuan ringgit menggunakan kad kredit peribadinya adalah tidak signifikan berikutan sumbangan yang beliau terima daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Terdahulu, Najib diasak dengan pelbagai soalan oleh Sithambaram berhubung terdapat banyak perbelanjaan membabitkan ribuan ringgit dalam penyata kad kreditnya.

Pada prosiding sebelum ini, Najib berkata, satu-satunya perbelanjaan peribadi yang signifikan yang dicaj pada kad kreditnya adalah pembelian jam tangan Chanel berharga RM466,330.11 untuk isterinya, Rosmah.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa kenyataan anda bahawa jam tangan mewah itu satu-satunya perbelanjaan peribadi dibuat anda adalah tidak betul.

Najib: Saya layak, jam tangan itu penting. Perbelanjaan lain tidak signifikan.

Sithambaram: Namun, terdapat perbelanjaan lain (ribuan ringgit) termasuk penginapan di hotel di Rome, Bali dan Bangkok.

Najib: Ya, tetapi semua itu tidak signifikan.

Sithambaram: Tidak signifikan berdasarkan sumbangan Arab?

Najib: Ya.

Sithambaram: Signifikan bagi orang lain.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International melibatkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Januari. - Bernama

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...