Komen Hina Raja Dan Islam, Lelaki Ini Diburu Polis

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung komen jelik berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan agama Islam dimuat naik seorang individu di laman sosial yang tular sejak semalam.

Ketua Penolong Pengarah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung perkara itu.

“Siasatan sedang dijalankan oleh pasukan USJT Bukit Aman dan kita sedang mengesan individu berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, satu salinan paparan skrin menunjukkan komen jelik lelaki berkenaan tular di media sosial termasuk Facebook (FB) semalam.

Lelaki mengguna nama ‘Lionel Proctor’ itu menulis komen, ‘siapa nak hormat raja-raja kau yang bertaraf macam ketua kampung dan agama kau yang diasaskan bangsa penunggang unta dari padang pasir’ pada satu kiriman di media sosial.

Kenyataan terbabit mengundang rasa marah orang ramai yang menganggap perkara itu sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja serta agama Islam. - Berita Harian Online