Skip to main content

Jangan Mengagung-Agungkan Pemimpin Komunis (PKM) - Sultan Selangor

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan mengagung-agungkan pemimpin mereka.

Titah baginda, perjuangan PKM tidak berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka berteraskan demokrasi Raja Berpelembagaan walaupun dikatakan turut menentang penjajahan.

"Fakta perjuangan ideologi PKM ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya Yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Seramai 91 individu menerima darjah dan bintang kebesaran Selangor pada istiadat berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah melalui fakta sejarah juga rakyat dapat menghargai pengorbanan yang begitu besar yang telah dilakukan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan negara sama ada pasukan Polis Diraja Malaysia atau pasukan tentera terutamanya ketika negara diancam dengan ancaman PKM pada sekitar tahun 40an hingga 70an.

"Begitu ramai pasukan keselamatan kita yang telah terkorban di dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara dari anasir komunis ini, ramai rakyat negara ini yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis, kehidupan rakyat pada ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM ini dan banyak perkampungan dan balai polis telah diserang, rakyat dan anggota polis dibunuh dan diseksa oleh anggota PKM ini," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihati pemimpin-pemimpin politik di Selangor agar sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Sejak kebelakangan ini rakyat menderita dengan kesempitan hidup akibat daripada kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang semakin meningkat dari hari ke hari.

"Beta menyeru kepada pemimpin politik ini untuk turun bersama rakyat bagi melihat masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru agar rakyat Selangor terus menjalinkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan sentiasa memelihara sensitiviti kaum dan tidak mencampuri urusan sesuatu kaum yang lain khususnya apabila melibatkan isu-isu keagamaan.

"Keharmonian akan sentiasa terpelihara sekiranya rakyat yang menganut pelbagai agama ini tidak mencampuri urusan agama penganut agama yang lain.

"Janganlah perpaduan yang telah kita bina bersama sejak sekian lama ini kita runtuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini," titah baginda. - BERNAMA

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...