BLACKBURUN - "Ketika saya menuju ke kubur ibu, tiba-tiba seekor burung seolah-olah menanti kehadiran saya bagi menunjukkan di mana kubur ibu," Demikian kata-kata seorang lelaki ketika merakam momen indah itu di tanah perkuburan di Bandar Blackburn Britain.
Lelaki itu menceritakan kebaikan ibunya kerana sering dilihat memberi burung makan dan minum, malah burung itu adalah salah seekor yang sering dijaga ibu.
Menerusi rakaman audio, lelaki itu memberitahu, ibunya baru meninggal dunia dan berkunjung semula ke kubur untuk membaca Yasin.
"Sudah lima hari ibu meninggal dunia, saya datang ke sini untuk membaca Yasin tetapi bertemu pula dengan seekor burung di sini.
"Burung ini menghampiri saya dan menjadi pemandu arah bagi mengiringi saya ke kubur ibu. Selepas tiba di kubur, burung ini berlegar-legar, tidak berganjak dari kubur arwah," katanya.
Beliau memberitahu, kejadian itu adalah salah satu kebesaran ALLAH dan pertama kali melihat perkara sedemikian.
Muat naik rakaman video di laman sosial bertujuan untuk berkongsi rasa bahawa haiwan juga bersifat penyayang.
Jelasnya, perkara ini terjadi spontan dan rakaman video itu bukan diedit.
Perkongsian video di Facebook Gegar Dunia Ghaib-Paranormal Team itu juga turut menerima pelbagai reaksi netizen yang turut mendoakan roh wanita itu dicucuri rahmat.
Video berdurasi 4 minit 22 saat mendapat 225,000 tontonan, 5,500 tanda suka dan lebih 1,700 perkongsian dari pelayar. - Sinar Harian