Powered by Blogger.

Saturday, November 30, 2019

Tentera Udara Terbangkan Wanita Sakit Bersalin Ke Hospital



BESUT - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan penerbangan ihsan membawa seorang wanita hamil yang mengalami kesakitan (kontraksi) bersalin bersama dua lagi pesakit untuk menerima rawatan di Hospital Jertih.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan TUDM hari ini, penerbangan itu dilakukan bagi membawa pesakit, Rozana Che Pa, 30, yang mengalami kesakitan untuk bersalin, Mohd Nor Dam, 80, yang menghidapi sakit tua dan Nuzula Juairi, 24, yang sedang hamil menggunakan Pesawat Helikopter EC725 AP.

Kesemua pesakit telah diterbangkan dari Simpang Keruak, Besut ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jerteh menggunakan pesawat EC725 AP daripada No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan.

Pesakit kemudiannya dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Jertih.

Pesawat EC725 AP yang ditempatkan sebagai detasmen SAR (Search And Rescue) di Pangkalan Udara Gong Kedak telah terbang pada jam 11.54 pagi untuk mengambil pesakit dan selamat kembali mendarat pada jam 12.48 tengah hari di Gong Kedak.

Penerbangan ihsan itu dikendalikan Kapten Mohd Rafiq Rahmad (TUDM) selaku juruterbang dan pembantu juruterbang, Kapten Mohammad Fais Abdul Halim (TUDM) bersama empat kru pesawat.

Turut sama dalam misi itu ialah Komander Pangakalan Udara Gong Kedak, Kol Shaiful Azuar Ariffin (TUDM).

Katanya, TUDM amat komited dan sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam memenuhi keperluan kebajikan masyarakat.

"Seluruh warga TUDM turut mendoakan agar kesemua pesakit dipermudahkan segala urusan.

"Sekalung tahniah kepada juruterbang serta anak kapal pesawat EC725 AP yang telah melaksanakan tanggungjawab," katanya. - Sinar Harian