Doakan SPM Saya Cemerlang, SPM Penguat Untuk Saya Bebas Dari Penjara


MARANG: "Bantulah saya dengan berdoa agar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini cemerlang untuk bawa saya 'terbang jauh' dari penjara."

Dalam menahan sebak, seorang banduan muda berkata demikian ketika ditemu ramah oleh Bernama setelah beliau selesai menjalani peperiksaan SPM bagi kertas Sains pada Rabu iaitu kertas terakhir dijawab olehnya di Sekolah Integriti Penjara Marang di sini.

Hassan, 20, (bukan nama sebenar) yang juga Tahanan Limpah Sultan (TLS) selepas disabit pada 2016 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya berkata meskipun nasibnya di penjara bagai tiada penghujung, tetapi SPM itu mampu memberi harapan untuknya keluar dari penjara.

"Keputusan SPM ini akan dimasukkan dalam permohonan rayuan pengampunan. Doakanlah agar saya 'dilihat' (oleh Sultan Terengganu)... ia jadi penguat untuk saya bebas sebab saya tiada tarikh bebas (dari penjara).

"Saya ambil SPM ini juga untuk buat mak bangga sebab masa kat luar (bebas), saya tak dapat buat macam tu," katanya yang direkodkan sebagai banduan berdisiplin dan sentiasa menunjukkan keperibadian tinggi sepanjang ditahan.

Semasa peperiksaan percubaan, Hassan memperoleh 4A 2B 1C dan menyasarkan sekurang-kurangnya mendapat keputusan 5A 2 B dalam SPM kali ini.

Sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik, Hassan mengakui kesilapannya berpunca daripada faktor kemiskinan keluarga dan keinginan mahu menikmati kemewahan dengan cepat, hingga akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup ketika berusia 17 tahun.

Meskipun dengan segala kekurangan, banduan yang rata-rata berusia dalam lingkungan 20an tetap meletakkan harapan agar memperoleh kejayaan cemerlang, malah telah membuat rujukan serta latihan dengan bimbingan guru sejak awal tahun, katanya.

Seorang lagi, Anuar, 20, yang turut mengambil peperiksaan yang sama, berkata peperiksaan kali ini adalah usahanya untuk memperbaiki kehidupan yang lepas apatah lagi beliau bakal dibebaskan kira-kira setahun setengah lagi.

Dia yang disabitkan atas kesalahan memiliki dadah pada 2018 dan dihukum penjara dua tahun serta tiga sebatan, memperoleh 5A 1B 1C ketika peperiksaan percubaan.

Keputusan SPM yang diambilnya pada 2016 hanyalah sekadar 1A dan sebelum ditahan sempat belajar dalam beberapa bulan di sebuah kolej vokasional. Dia mengakui tersilap langkah apabila memilih menjadi tokan dadah sejak berusia 16 tahun bagi mendapatkan wang dengan cepat.

"Janganlah jadi seperti saya, tindakan yang betul-betul merugikan apabila terlibat dengan dadah. Meskipun saya tidak jadi penagih tetapi apabila mula menjual, ia juga bagai sukar berhenti.

"Nama kita juga akan jadi 'panas' walaupun kita telah berubah... sebab itulah selepas menjalani hukuman ini, saya akan berhijrah dan tidak mahu pulang ke kampung," katanya yang juga anak bongsu daripada lapan beradik.

Guru sekolah itu, Muhammad Najmi Liew Abdullah pula berkata, seramai 16 banduan yang sedang menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan mengambil SPM tahun ini.

Beliau, yang telah mengajar di sekolah itu sejak lima tahun lepas, berkata ada dalam kalangan banduan berkenaan hanya belajar setakat darjah enam, namun berkat kesungguhan dan usaha secara bersama, mereka bersemangat mengambil SPM tanpa perlu dipaksa malah turut belajar secara berkumpulan setiap malam sejak awal tahun.

Ketika ditanya apakah resepi yang beliau terapkan dalam membangkitkan semangat banduan, beliau yang mengajar mata pelajaran sains berkata: "Saya jadi rakan baik mereka, sentiasa bersedia mendengar masalah dan menggunakan kaedah tertentu agar mudah difahami."

Tinjauan di sekolah itu telah memberi peluang kepada Bernama untuk melihat reaksi kesemua banduan terbabit melakukan sujud syukur selepas selesai peperiksaan dan mereka sempat bersalaman sesama mereka kerana ia mungkin menjadi momen terakhir sebelum dipindahkan ke bilik tahanan lain pada bila-bila masa.

Difahamkan, sejak awal tahun lepas kesemua banduan SPM diletakkan di dalam satu bilik tahanan untuk memudahkan mereka belajar dan berbincang, serta melakukan solat hajat hampir setiap malam sebelum peperiksaan bermula. - BERNAMA