Selepas Beri Nombor Telefon Kepada ‘Ella’, IG Nora Danish Hampir Digodam!


Aktres jelita Nora Danish mendedahkan akaun Instagram (IG) milik Ratu Rock Malaysia, Ella telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Nora, dia menyedari perkara tersebut selepas menerima mesej daripada IG yang mengatakan akaunnya akan ditutup.

"Semalam saya hadir ke majlis Armani dan berjumpa kak Ella, bintang rock lagenda.

"Saya pasti semua orang kenal kak Ella. Saya suka dia dan dia sangat cantik. Jadi saya ambil video kak Ella di 'InstaStories' dan 'tagged' IG dia.

"Kemudian kak Ella hantar kiriman mesej dan minta nombor WhatsApp saya,” cerita Nora.

Selepas itu, Nora memberikan nombor telefonnya dan ia dibalas dengan emoji simbol hati.

“Pagi ini saya dapat mesej WhatsApp daripada IG! Dalam mesej itu mengatakan saya ada memuat naik sesuatu berkaitan keganasan dan akaun saya akan ditutup.

"Saya tekan link berkaitan dan membuatkan telefon saya tersekat, nasib baik cuma seketika.

"Jadi saya sempat berfikir kenapa IG menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp dan bukannya email?

"Saya terus teringat siapa yang minta nombor saya semalam, orangnya ialah Kak Ella.

"Jadi saya buka balik mesej itu dan lihat akaun IG kak Ella, baru saya sedar akaunnya telah digodam," tulisnya di Instagram Stories miliknya.

Tambah pelakon filem Polis Evo itu, tindakannya berkongsi perkara terbabit adalah untuk memberi kesedaran kepada semua pihak.

"Tolong berhati-hati okey! Saya terfikir untuk berkongsi dengan semua pengikut saya terutamanya kawan-kawan selebriti.

"Lepas ni, kalau telefon 'hang' jangan marah dia," tulisnya lagi.

Hasil pencarian akaun lama Ella sudah tidak dapat dikesan.

Ella turut meluahkan rasa geram dan berkongsi pendedahan yang dilakukan oleh Nora menerusi salah sebuah entri di akaun Instagram baru miliknya. - Astro Gempak