Powered by Blogger.

Monday, October 7, 2019

Mat Hasan Ajak Dr Mahathir Tubuh Kerajaan Bersama BN Dan PAS


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempelawa Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah kerajaan baru sekiranya perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohamad berkata kerajaan baru itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama BN, PAS serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak

"Saya bersetuju gesaan Tun Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu. Cumanya kita tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana?

"Jika benar beliau jujur dan ikhlas, mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan, esok juga beliau boleh menubuhkan sebuah kerajaan baru dengan kerjasama BN, PAS dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak," kata Mohamad dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun menurut Mohamad, Umno dan PAS harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini.

"Kita tidak mahu menjadi sekadar penumpang sahaja, sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

"Saya yakin Umno dan PAS tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan Bersatu ke dalam agenda besar umat Melayu Islam ini," tambahnya.

Menurut Mohamad, Kongres Maruah Melayu baru-baru ini mengesahkan segala dakwaan Umno dan PAS bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu serta Pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini, turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan penutupnya.

"Walaupun Tun Mahathir cuba meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Melayu dan Umno, namun ia tidak dapat menafikan kelemahan kerajaan PH," katanya.

Sanggupkah Dr M berkorban jawatan?

Hari ini menurut Mohamad, kumpulan terbesar orang Melayu Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah yang dianjurkan Umno dan PAS.

"Persoalannya, apakah Tun Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan, bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu Islam di negara ini?

"Insha Allah jika Tun Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan Umno dan PAS," katanya.

Mohamad yang juga Adun Rantau berkata, masalah yang berlaku hari ini adalah kerana Mahathir hanya melihat dari sudut pandangan dirinya sahaja.

"Ada pandangan beliau yang betul dan ada juga yang salah. Yang benar kita kena akui benar, namun banyak keputusan kerajaan PH hari ini telah menyebabkan orang Islam dan Melayu marah dan kecewa serta merasa terhina di tanahair sendiri.

Katanya, kini terserah kepada perdana menteri itu untuk membuat pilihan.

"Buat masa ini pisau dan mentimun di tangan Tun Mahathir. Tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat.

"Terserahlah kepada Tun Mahathir untuk membuat keputusan, kerana buat masa ini majoriti orang Melayu Islam sudah membuat keputusan menolak PH," kata Mohamad. - Malaysiakini