Tinggal Bersama Selepas Bapa Bercerai Dengan Ibu


BANJARBARU: Bapa durjana! Itu ungkapan yang paling sesuai digelarkan kepada seorang bapa di Banjarbaru, Indonesia yang sanggup merogol anak kandungnya sendiri sehingga mangsa hamil.

Lebih menyedihkan, untuk menutupi aib yang dilakukannya, suspek berusia 50 tahun itu juga tergamak menjual mangsa kepada rakan sendiri.

Tidak tahan terpaksa melayani nafsu si bapa dan rakan bapanya itu, mangsa bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa pada Ahad.

Menurut Ketua Balai Polis Banjarbaru, AKBP Kelana Jaya AKP Aryansyah, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan siasatan kes sedang dijalankan.

“Kejadian bermula pada tahun 2017 ketika mangsa masih berusia 16 tahun.

“Mangsa dipaksa tinggal dengan bapanya setelah kedua-dua ibu bapanya bercerai dan mangsa hanya tinggal berdua dengan bapanya di rumah tersebut,” kata Aryansyah.

Sejak itu, mangsa sering kali menjadi ‘korban’ kepada bapanya.

Tambah Aryansyah lagi, bapa kandung mangsa mengetahui bahawa mangsa kehilangan dara sejak kecil angkara perbuatan pak cik saudaranya sendiri.

Bagaimanapun bapa mangsa sebaliknya menggunakan insiden itu sebagai modal ugutan untuk ‘dilayani.’

Menurut Aryansyah lagi, sekiranya mangsa enggan melayani permintaan seksual bapanya itu, rahsia itu akan dibongkar kepada ibunya.

“Mangsa tidak tahan dengan perbuatan bapanya dan mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah dan melaporkan kejadian.

"Kami berjaya menangkap kedua-dua pelaku iaitu bapa mangsa dan rakan bapanya dan kini mereka sedang menjalani prosiding undang-undang di Unit Polis Jenayah Sat Satim," kata Aryansyah.

Kes di siasat di bawah Undang-Undang Nombor 23 (2002) Akta Perlindungan Kanak-Kanak di mana jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun. - Astro AWANI