SEMPORNA: Seorang bayi lelaki berumur 20 bulan maut selepas didera oleh empat rakan perempuan ibu mangsa di sebuah kediaman di Taman Hatib dekat sini pada Jumaat.
Mangsa, Muhammad Al Suhaimi Alsarif, disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 6.45 petang, di Hospital Semporna.
Ketua Polis Semporna Supt Sabarudin Rahmat berkata, menurut laporan, bayi malang itu dihantar oleh ibunya yang berusia 23 tahun, ke Wad Kecemasan Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.
Namun, katanya, keadaan Muhammad Al Suhaimi semakin kritikal dan disahkan meninggal dunia selepas itu.
Menurut saksi, bayi malang tersebut dikatakan telah ditampar, dilempar ke tilam, ditarik sehingga terkena besi katil dan dipijak, membawa kepada kematiannya.
Susulan itu, pihak polis menahan empat remaja perempuan warga asing berumur antara 16 dan 19 tahun pada jam 9.30 malam hari yang sama selepas menerima laporan berkaitan kejadian.
Kata Sabarudin, mangsa berada di bawah penjagaan ibunya sepenuhnya dan keempat-empat suspek merupakan rakan ibu mangsa yang menumpang di rumahnya.
Mangsa telah ditinggalkan bersama empat suspek itu ketika hari kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Astro AWANI