Powered by Blogger.

Tuesday, June 11, 2019

Ada Polis Tahan Saya Minta Duit Kopi - Ketua Polis Negara


Seorang konstabel polis berhadapan dengan tindakan disiplin selepas cuba meminta rasuah daripada seorang pekebun yang kemudiannya menjadi ketua polis negara.

Selepas bersara pada 2016, Abdul Hamid Bador menjadi pekebun sayur di Rembau, Negeri Sembilan sebelum kembali menyertai pasukan keselamatan dan mengetuai Cawangan Khas serta setahun kemudian menjadi ketua polis negara.

"Suatu hari, saya dalam perjalanan ke pasar dengan trak pikap saya yang dipenuhi dengan timun, kacang panjang dan terung.

"Saya diberhentikan seorang anggota polis yang menaiki motosikal dan mendakwa trak saya lebih muatan. Saya katakan kepadanya saya tidak membawa muatan lebih kerana berat (sayuran) tidak melebihi 500kg.

"Dia kemudian bertanya sekiranya pembantu saya, yang juga di dalam trak itu seorang pendatang asing. Saya cakap kepadanya dia orang Bangladesh dengan permit kerja yang sah," katanya dalam wawancara bersama New Straits Times (NST).

Hamid berkata beliau tidak ada masalah untuk membelanja konstabel itu untuk minum tetapi meminta "duit kopi" merupakan suatu kesalahan.

"Sudah tentu, dia tidak tahu siapa saya," jelasnya yang kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada ketua balai polis di kawasan itu.

Hamid berkata kisah itu menekankan supaya pasukan polis perlu menumpukan perhatian terhadap rondaan dan pencegahan jenayah dan bukannya memberhentikan pemandu kenderaan.

Beliau juga menegaskan keperluan untuk membanteras rasuah dalam pasukan polis.

Hamid memilih untuk bersara selepas beliau dipecat sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas dan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau enggan menjalankan tugas barunya dan mendakwa penyingkirannya daripada pasukan polis berkait dengan skandal 1MDB.

Pertukaran tugas beliau berlaku di tengah-tengah tindakan keras terhadap di bawah perdana menteri itu, Najib Abdul Razak pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1MDB.

Najib kini dikenakan 42 pertuduhan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berikutan perubahan pertama kerajaan sejak pilihan raya umum tahun lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian memanggil semula Hamid kembali daripada persaraannya untuk memimpin Cawangan Khas dan kini menjadi ketua polis negara.

Abdul Hamid juga memberitahu NST, beliau terpaksa melupakan sebentar minatnya di kebun dan menyerahkan perniagaan ladangnya kepada rakan-rakannya.

Walau bagaimanapun, beliau bercadang untuk kembali semula ke bidang pertanian selepas kontrak dua tahun perkhidmatannya sebagai ketua polis negara berakhir. - Malaysiakini (BM Version)