Video Guru Taska Lempar Kanak-Kanak 3 Tahun Tular


MISSOURI: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dilempar guru taska menyebabkan kulit kepalanya terkoyak akibat hentakan pada almari.

Susulan kejadian, seorang pekerja pusat jagaan kanak-kanak di Missouri berdepan tuduhan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak itu.

Tuduhan terhadap Wilma Brown, 27, pekerja di Brighter Day Care and Preschool, Missouri difailkan di St. Louis, Khamis lalu.

Rakaman video yang tular menunjukkan Wilma menarik tangan kanak-kanak itu dan menghayunnya ke arah satu sudut di pusat jagaan itu.

Dalam insiden Februari lalu, ibu mangsa mendapat panggilan mengatakan anak perempuannya terjatuh di pusat jagaan terbabit dan kepalanya mengalami luka dalam yang memerlukan tujuh jahitan.

Namun setelah lima hari insiden berlaku, keluarga mangsa yang berasa curiga kembali ke pusat jagaan berkenaan dan meminta untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Turut sama menonton rakaman tersebut adalah pengarah pusat jagaan terbabit dan apa yang terjadi sebenarnya amat mengejutkan.

Tertuduh, dengan jelas kelihatan 'melempar' kanak-kanak tersebut dengan kasar lalu terkena sebuah kabinet dan mengakibatkan kecederaan.

Susulan kes, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Brown.

Pihak pendakwa turut mengenakan tuduhan terhadap seorang lagi pekerja di taska sama bernama Ariana Silver.

Ariana didapati mendera seorang kanak-kanak berusia empat tahun dengan mengangkat kanak-kanak tersebut di bahagian kaki dengan kasar.

Peguam pusat jagaan terbabit, Timothy Smith berkata kedua-dua pekerja wanita berkenaan telah pun diberhentikan dan pusat jagaan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Smith turut menambah pusat jagaan terbabit mempunyai pengalaman selama lebih sedekad dalam perkhidmatan jagaan kanak-kanak di samping mempunyai guru dan pekerja yang terlatih. - Astro AWANI