Hina Nabi Muhammad, Wai Foo Sing Dihadapkan Ke Mahkamah


Wai Foo Sing, yang bertindak biadab serta kurang ajar dengan menghina Nabi Muhammad saw pada 17 Februari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. 

Tertuduh, 68 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy. 

Mahkamah memberikan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 5 April nanti.

Sebelum ini hampir 500 orang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, malam tadi, bagi mendesak lelaki warga emas yang menghina Nabi Muhammad SAW menerusi karikatur jelik segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Keadaan itu memaksa polis menutup Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab hampir sejam bagi mengelakkan sebarang insiden berlaku sepanjang himpunan itu berlangsung bermula jam 9 malam.

Insiden yang pada mulanya ‘panas’ berjaya ditenangkan apabila Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby memberi cadangan kepada orang ramai untuk menghantar tiga wakil bagi membuat laporan polis.

Presiden Jaringan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Amiruddin Mohd Daud berkata, himpunan itu adalah inisiatif anak Perak yang sayangkan Islam dan menyatakan rasa tidak puas hati apabila pelakunya dibebaskan segera dengan jaminan polis dalam tempoh yang singkat.

Rabu lalu, lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sing Wai yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan.

Lelaki berusia 68 tahun itu sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam selepas memuat naik karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah. - Astro AWANI