Cabul Anak Kandung Berusia 4 Tahun, Koperal Askar Didakwa


Seorang koperal tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul anak kandungnya, Disember lalu.

Tertuduh berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan anak kandungnya berusia empat tahun lima bulan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, di sini, Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat selain diletakkan di bawah pengawasan polis minimum setahun atau maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan kerana tertuduh tinggal serumah dengan mangsa serta ibu mangsa dan bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Tertuduh kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melantik peguam kerana yakin tidak bersalah sebelum Julie Lack memintanya mendapatkan nasihat peguam kerana tuduhan dihadapinya serius.

Tertuduh juga memohon mahkamah untuk memberikan jaminan terhadapnya kerana dia masih bertugas sebagai anggota tentera.

Julie Lack kemudiannya sependapat dengan Naidatul Athirah dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 25 Februari ini sebagai sebutan semula kes. - Berita Harian Online