SEORANG isteri yang ditangkap khalwat oleh suaminya diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, hari ini.
Perceraian di antara pasangan berusia 32 dan 23 tahun itu dilafazkan di hadapan Hakim Zahari Mohd Yusoff mengikut Seksyen 47 Permohonan Perceraian Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002.
Sebaik keluar daripada mahkamah, suasana bertukar kecoh apabila berlaku perbalahan antara pasangan berkenaan sebelum ditenangkan oleh polis serta ahli keluarga.
Bapa tiga anak yang mahu dikenali sebagai Atiq, 32, berkata dia sendiri menangkap isterinya berkhalwat dengan lelaki lain di sebuah hotel di utara tanah air pada 25 Oktober lalu dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Atiq mengakui hatinya luluh apabila melihat isteri yang dikahwini selama tujuh tahun sanggup menduakannya walaupun mempunyai tiga anak berusia antara setahun hingga enam tahun.
“Saya bersama kawan, pegawai pejabat agama dan polis pergi ke hotel itu selepas diberitahu oleh rakan bahawa kereta milik saya diletakkan di hadapan hotel berkenaan.
“Sebaik masuk ke sebuah bilik, saya lihat isteri bersama dengan lelaki lain dan ia menguji kesabaran saya sebagai seorang suami.
“Saya tekad membawa pulang anak ke Kota Bharu dan melafazkan cerai kerana tidak sanggup melihat kecurangan isteri daripada terus berlaku,” katanya ketika ditemui.
Kakitangan swasta yang bertugas di Ipoh, Perak itu, berkata selama ini dia bersabar kerana memikirkan tiga anak yang masih kecil. - Harian Metro