Powered by Blogger.

Tuesday, October 23, 2018

Kes Kemalangan Bertukar Jadi Kes Bunuh.


SUSPEK utama kes langgar lari yang menyebabkan kematian kakitangan Telekom Malaysia (TM) di Cyberjaya, Rabu lalu ditahan reman semula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Majistret Yusna Khadijah Md Yusop menetapkan suspek berusia 23 tahun berasal dari Libya itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

Turut ditahan reman adalah dua rakan suspek masing-masing warga Libya dan Yemen berusia 20 tahun dan 22 tahun.

Sebelum ini, suspek utama yang juga pemandu kereta ketika kejadian ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang mana ia berakhir hari ini.

Manakala, dua lagi suspek turut ditahan reman selama empat hari yang berakhir semalam.

Pada 19 Oktober lalu, semua suspek terbabit ditahan di dua lokasi berasingan masing-masing di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai Seri Kembangan dan Symphony Hills Cyberjaya bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, parah dirempuh dan diseret sebuah kereta jenis Hyundai di hadapan bangunan kedai Shaftbury Square, Cyberjaya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya, kira-kira jam 4 pagi keesokan harinya.

Kereta suspek turut merempuh kereta Proton, Toyota Avanza, Perodua Myvi dan Honda City di lokasi sama sebelum melarikan diri. - Harian Metro