Powered by Blogger.

Tuesday, July 31, 2018

Tiada Lagi Pangkat Tentera Untuk Orang Politik - Mat Sabu


Kementerian Pertahanan tidak akan meneruskan amalan memberi pangkat tentera kepada ahli politik, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ini bagi menghalang ahli politik menyalahgunakan pangkat tersebut untuk masuk ke kem tentera dan membuat kempen politik terutama ketika pilihan raya umum.

"Orang politik dianugerahkan pangkat tanpa melalui latihan tentera menimbulkan rasa tidak senang hati (di kalangan tentera). Oleh itu kita hentikan penganugerahan pangkat kepada mereka.

"Kita tidak mahu parti politik mendominasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka (tentera) boleh pilih mana-mana parti, tapi jangan doktrin mereka untuk pilih parti (tertentu)," katanya ketika ucapan penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaik saja dilantik mengetuai kementerian itu, penghentian amalan ini merupakan perkara utama yang dinyatakan presiden AMANAH itu.

Mohamad berkata lagi, kerajaan baru tidak boleh meneruskan amalan pentadbiran lalu yang dilihat tidak betul.

"Jika kita anugerahkan (pangkat tentera) kepada pemimpin HARAPAN, mereka guna pangkat itu untuk masuk kem dan berkempen...pihak lain yang lakukan kesilapan, jangan kita ulang kesilapan itu," katanya. - Malaysiakini