Ketua Polis Nafi Guna Duit PDRM Untuk Perkahwinan Anaknya.


Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan laporan portal atas talian Sarawak Report bahawa beliau menggunakan dana Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perkahwinan anaknya.

Menurut laporan Malaysiakini, Sebaliknya, kata Mohamad Fuzi, beliau menggunakan wang simpanannya sendiri termasuklah bagi perbelanjaan rakan sejawatnya di Brunei yang turut dijemput hadir majlis perkahwinan 1 Julai itu.

Mohamad Fuzi merujuk laporan Sarawak Report Khamis lalu yang mempersoalkan pihak yang membiayai ketua-ketua polis Asia Tenggara untuk menghadiri perkahwinan anaknya.

Laporan Sarawak Report itu berdasarkan jemputan rasmi yang didakwa dihantar oleh polis Malaysia kepada pegawai-pegawai kanan polis April lalu.

Menurut laporan itu, jemputan itu menjanjikan akan memberi tiket dua hala kelas perniagaan bagi tetamu dan pasangan mereka serta penginapan semalaman di hotel.

"Memandangkan pengirim surat itu adalah PDRM, terdapat implikasi yang kuat bahawa polis dan bukannya Mohamad Fuzi yang akan membayar bil berkenaan. Ini merupakan contoh yang sangat buruk untuk ditunjukkan kepada pegawai bawahan dari segi penyalahgunaan dana," kata laporan itu.

Laporan itu turut menggambarkan majlis perkahwinan itu sebagai mewah, namun menggambarkan "mungkin kerjaya sebagai orang nombor satu Cawangan Khas dan PDRM memungkinkan simpanan seumpamanya".

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi dipetik The Star sebagai berkata bahawa apabila jemputan itu dibuat, pihak yang terlibat sudah difahamkan bahawa beliau sendiri akan membayar kos berkenaan.

Mohamad Fuzi turut menyifatkan laporan Sarawak Report itu sebagai tidak tepat.

"Malah, hanya rakan sejawat saya dari Brunei yang datang. Kenapa saya perlu melakukan hal yang begitu meragukan untuk perkahwinan anak saya sendiri? Saya tak ada apa-apa yang perlu disorok," katanya.

Fuzi menegaskan bahawa dengan kerjayanya yang semakin hampir kepada umut persaraan, beliau mampu mempunyai simpanan yang cukup untuk membiayai kos perkahwinan anaknya. - Malaysiakini