Skip to main content

Jamal Akan Tiba Di KLIA Petang Ini


KUALA LUMPUR - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dijangka tiba petang ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Indonesia.

Menurut laporan Sinar Harian, perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad. "Jamal dijangka tiba pada jam 2.15 petang ini di KLIA.

"Kemudian Jamal akan dibawa ke Mahkamah Ampang untuk proses pertuduhan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam, sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan dihantar ke Indonesia bagi membawa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos pulang.

Sebelum ini Jamal yang melarikan diri ke Indonesia akhirnya dicekup pihak Polis Indonesia, perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan penahanan tersebut pada jam 6.15 petang oleh pihak Polis Indonesia. "Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa beliau pulang ke Malaysia.

Menurut ibu Jamal yang sedih dan pilu mengenangkan nasib anak yang menjadi buruan polis. "Dah kering air mata mak cik mengenangkan nasib bakal dilalui anak.

"Mak cik hanya mampu berdoa, agar ALLAH mudahkan urusannya dalam hadapi saat getir ketika ini," demikian kata Maimunah Saman, 79, ibu kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menurut Maimunah, walaupun pelbagai tuduhan dan cacian dilemparkan terhadap Jamal, namun dia dan keluarga tetap menganggap anak keenam daripada sembilan beradik itu sebagai seorang yang bertanggungjawab.

"Sebenarnya orang tak mengenali Jamal, mereka cakap sesuka hati dan tuduh macam-macam. "Mak cik tak marah apa yang diperkatakan itu, malah jauh sekali nak kecil hati kerana anggap ini hanya ujian buat kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga disifatkan anak yang penyayang dan seorang yang mengambil berat. "Kalau mak cik sakit, dialah yang dulu datang hulur bantuan. Dia akan pastikan mak cik mendapat rawatan terbaik di hospital swasta.

"Bila dia pulang ke rumah, tentunya tak lekang di bibirnya supaya mak cik mendoakan perjalanan kehidupannya sambil memeluk dan mencium tangan mak cik bagi memohon restu," katanya.

Maimunah berkata, dia tidak lagi bertemu Jamal yang menghilangkan diri sejak selepas PRU14 lalu. "Lebih sebulan mak cik jatuh sakit sebab terlalu rindukan Jamal. Biar apa pun orang cakap tentang Jamal, mak cik tetap anggap dia anak terbaik," katanya.

Maimunah turut berharap penahanan anaknya tidak dipanjangkan memandangkan beliau sudah lama tidak pulang berjumpa keluarga.

Katanya, dia terkejut selepas menerima berita Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) jam 6.15 petang, semalam. Kakak kepada Jamal, Datin Maskiah Md Yunos, 57, berkata, dia berharap agar masyarakat tidak menghukum sendiri adiknya yang dilihat seolah melakukan kesalahan besar di negara ini.

"Bagi saya, Jamal meletakkan kepentingan rakyat dan negara jauh kehadapan berbanding dirinya sendiri. "Contohnya, isu pesta arak, saya lihat Jamal lantang dan mengutuk sekeras-kerasnya perkara ini, sehingga tiada lagi pesta dilakukan secara terang terangan.

"Saya mengharapkan kerajaan hari ini memaafkan kesalahan dia. "Dia tidak menimbulkan sebarang keganasan hingga mendatangkan mudarat dan mengancam keselamatan kepada masyarakat dan negara," katanya.

Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Jamal yang juga merupakan Ketua Gerakan Baju Merah sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang. - Sinar Harian

Popular posts from this blog

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...