Powered by Blogger.

Tuesday, July 31, 2018

Isu Gua Musang, Sivarasa Akan Jumpa JAKOA


Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa akan bertemu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hari ini berhubung sekatan antara Orang Asli dan pekerja syarikat yang mengusahakan ladang durian musang king di Gua Musang, Kelantan.

Sivarasa berkata, JAKOA perlu menyediakan laporan terperinci berhubung isu berkenaan, khususnya mengenai dakwaan pekerja syarikat membuat sekatan balas hingga penduduk Orang Asli tidak dapat keluar daripada Kampung Kaleg, Pos Tohoi di Gua Musang.

"Saya akan minta laporan serta merta dan berbincang dengan semua pihak yang terbabit dalam perkara ini, termasuklah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan serta kerajaan Kelantan.

"Kami akan berusaha untuk mendapatkan penyelesaian secepat mungkin yang adil kepada semua pihak.

"Namun, konflik tanah ini adalah amat rumit dan tidak boleh diselesaikan dalam sehari kerana sudah berlarutan sejak sekian lama dan isu pokoknya perlu diselesaikan iaitu sempadan tanah adat," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung tindakan pekerja syarikat ladang durian membuat sekatan balas kepada penduduk Orang Asli berhampiran Pos Tohoi bagi menyekat kebebasan mereka.

Ia susulan tindakan 'berani mati' 30 penduduk Orang Asli di Kampung Kaleg melakukan sekatan, termasuk berbaring di atas jalan bagi menghalang pekerja syarikat yang mengusahakan kebun durian musang king daripada memasuki kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along yang turut hadir pada sidang media itu, menjelaskan sekatan dibuat pekerja syarikat terbabit sudah dialihkan semalam.

Katanya, sekatan oleh pihak syarikat itu bermula sejak dua hari lalu selepas penduduk kampung membuat halangan bagi menghalang mereka menebang kawasan hutan seluas 400 hektar bagi dijadikan ladang durian musang king.

"Kawasan yang mahu dijadikan ladang durian itu membabitkan 27 kampung Orang Asli, serta tempat nenek moyang kami dan beberapa kubur lama Orang Asli.

"Ketika pihak pekerja syarikat lakukan sekatan balas, mereka turut tidak membenarkan kenderaan JAKOA masuk bagi membawa tiga pesakit yang tinggal kira-kira 70 kilometer daripada kawasan sekatan itu, untuk mendapatkan rawatan.

"Semalam, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan polis terus mengarahkan mereka mengalihkan sekatan," katanya.

Terdahulu, 24 wakil badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli hadir di Parlimen untuk menghantar memorandum menuntut kerajaan menunaikan janji membabitkan kaum itu seperti dicatatkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Manifesto itu diserahkan Presiden Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS), Yusri Ahon kepada Sivarasa, serta turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Berita Harian Online