Powered by Blogger.

Saturday, July 7, 2018

Biar Najib Saman. Saya Akan Terima - Shukri


Datuk Seri Shukri Abdull yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terkejut dengan tindakan saman sivil yang dibuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadapnya.

"Biar beliau saman. Saya akan terima," kata Shukri, petik The Star.

Semalam Reuters melaporkan Najib menyaman Shukri, Peguam Negara Tommy Thomas dan Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Amar Singh.

Dalam laporan itu, saman Najib yang difailkan minggu lalu mendakwa mereka bersikap prejudis dalam siasatan mengenai 1MDB.

Dalam hal berkaitan, Shukri berkata SPRM hampir siap meneliti bukti dalam negara mengenai kes 1MDB dan sekarang sedang menyelidik keterangan dari luar negara.

Najib didakwa menerima dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa sejumlah AS$ 731 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, walaupun AS $620 juta kemudian disalurkan ke dalam akaun yang dipegang ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Najib menafikan sebarang dakwaan salah laku.

Pada hari Rabu lalu, beliau didakwa atas tuduhan pecah amanah jenayah dalam kes berasingan mengenai dana yang diselewengkan daripada SRC International.

Sebelum ini Najib memfailkan saman terhadap tiga penyiasat utama skandal 1MDB, dalam usahanya menangani kritikan awam berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes itu.

Hilang kuasa pada PRU Mei lalu, Najib ditahan dan didakwa berkaitan transaksi meragukan bekas subsidiari 1MDB, SRC International. Beliau yang konsisten menafikan sebarang salah laku mengaku tidak bersalah Rabu lalu.

Dalam 'serangan balasnya', Najib memfailkan saman terhadap tiga pegawai yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Dalam tiga pemfailan sivil minggu lalu namun hanya dilihat Reuters pada Rabu, peguam Najib mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas bersikap prejudis terhadap Najib ketika siasatan mereka.

Badrul Abdullah yang mengetuai salah satu firma guaman yang mewakili Najib berkata, saman dibuat berdasarkan kenyataan sebelum ini yang dibuat tiga individu itu.

"Kemi mahu mendapatkan keputusan mahkamah sama ada wujud unsur konflik kepentingan di kalangan individu yang mengendalikan kes ini," kata Badrul kepada Reuters.

Badrul berkata anak guamnya menuntut ganti rugi kos dan arahan serta relief lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Rekod mahkamah menunjukkan tiga permohonan itu difailkan 30 Jun lalu dan menamakan Najib sebagai pemohon.

Peguam Najib dan responden dijadual bertemu dengan dua hakim pada 16 Julai ini bagi pendengaran pra-perbicaraan.

Pada mei lalu, Shukri berkata siasatan 1MDB pada 2015 telah ditekan, sementara Amar mengetuai rampasan polis terhadap barangan mewah bernilai kira-kira AS$275 juta di premis yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Thomas adalah ketua pendakwa yang mendakwa Najib dengan tiga pertuduhan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, membabitkan RM42 juta yang didakwa dipindah ke akaunnya daripada SRC. - Malaysiakini