Skip to main content

Waran Tangkap Ke Atas Jamal Sudah Dikeluarkan - Ketua Polis Negara


Hari ini polis keluarkan waran tangkap terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas Ketua Umno Sungai Besar itu gagal menyerahkan diri di bu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

Menurut laporan Malaysiakini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Jamal diberi masa secukupnya untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan terhadapnya.

"Namun beliau tetap gagal (serah diri) dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan keselamatan diri beliau terancam," katanya.

Fuzi meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi Jamal dapat berhubung dengan polis di balai yang berdekatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Jamal sudah disenaraihitam daripada ke luar negara.

Ia berikutan spekulasi menyatakan ahli politik kontroversi itu telah lari ke Indonesia.

Mustafar bagaimanapun berkata setakat ini tiada rekod menunjukkan Jamal sudah meninggalkan negara.

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas beliau memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Jamal juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Beliau didakwa minggu lalu ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri ekoran sakit belakang, tetapi menghilangkan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Muncul semula dua hari kemudian, beliau menafikan melarikan diri dan berkata hanya ke Lembaga Tabung Haji untuk mengeluarkan wang bagi menanggung kos ikat jamin dan kesnya.

Dalam kenyataan media Selasa lalu, beliau berjanji akan menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya keesokannya, tetapi gagal berbuat demikian.

Sebaliknya beliau muncul dalam rakaman video di sebuah ladang kelapa sawit di lokasi yang tidak diketahui, antaranya mendakwa keselamatannya terancam dan menuduh kerajaan menjadikannya sebagai mangsa.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak rayuan "melindungi" Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang hilang selepas berjanji untuk menyerah diri kepada polis semalam.

"Apa nak lindung apa? Dia tahu dia buat salah lepas tu dia lari," Muhyiddin memberitahu pemberita selepas hadir majlis berbuka puasa Jabatan Penjara di masjid Penjara Kajang malam ini.

Muhyiddin berkata beliau juga meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun mengesan Jamal yang dilaporkan disiasat untuk sembilan kes, termasuk tiga daripadanya yang telah dibuat pertuduhan pada Jumaat lalu di Hospital Ampang Puteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan polis sedang dalam proses meletakkan Jamal dalam larangan perjalanan imigresen susulan desas-desus dia melarikan diri ke Indonesia.

"Saya sedang minta KPN untuk memburu beliau.

"Dengar kata dia di Indonesia dan kita minta kerjasama polis di sana untuk cari beliau bawa ke sini.

"Apa pun kesalahan saya serah pada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada," kata Muhyiddin lagi. - Malaysiakini

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...