Powered by Blogger.

Sunday, June 3, 2018

Rosmah Perlu Hadir Ke SPRM Esok, Siasatan Kes SRC International.


Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 pagi esok bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM akan mengambil dan merakam keterangan isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara berkenaan.

“Ya, notis telah diberikan kepada Rosmah dan beliau perlu hadir pada esok bagi melengkapkan siasatan berhubung kes ini (SRC International),” katanya kepada Bernama.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerahkan notis memerintah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berkaitan SRC International.

Menurut sumber, mengikut notis berkenaan, Rosmah perlu hadir pada Selasa minggu depan 11 pagi bagi memberi keterangan.

Katanya surat berkenaan diserahkan oleh pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Jalan langgak Duta.

Beberapa pegawai SPRM kelihatan meninggalkan kediaman itu dengan membawa sebuah beg yang dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari bekas kediaman Perdana Menteri itu. - Malaysiakini